Saturday, August 29, 2009

FADHILAT RAMADHAN

Ingin akak kongsi bersama-sama Fadhilat Ramadhan yang akak salin dari buku FADHILAT AMAL dan terdapat satu tajuk FADHILAT RAMADHAN. Kami sekeluarga menjadikan membaca setiap lepas solat tarawikh. Kami akan berkumpul seluruh anak beranak dan mendengar taklim yang disampikan oleh suami akak. Sempena Bulan Ramadhan Al-Mubarakah ini, mari kita berkongsi bersama-sama fadhilatnya.

Perbanyakkanlah pada bulan ini empat perkara. Dua perkara yang kamu dapat meredakan Tuhan kamu dan dua perkara lagi yang tidak boleh tidak kamu perlukan. Ada pun dua perkara yang kamu dapat meredakan Tuhan kamu dengannya adalah:
1. Penyaksian bahawa tiada Tuhan selain daripada Allah. Kalimah Toyyibah-La ila Hailallah
2. Memohon istighfar daripada Allah.
Manakala dua perkara yang tidak boleh tidak kamu perlukan islah memohon
1. Syurga daripada Allah s.w.t.
2. Meminta perlindungan daripada api neraka.

Hadis Pilihan 1.

Daripada Hazrat 'Ubadah Bin Somrit r.a., sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah bersabda pada suatu ketika bulan Ramadhan telah datang kepada kami, " Telah datang kepada kamu Ramadhan, bulan yang diberkati. Allah s.w.t. akan menumpukan perhatianNya kepadamu dalam Ramadhan, lalu Dia akan menurunkan rahmat dan akan menggugurkan dosa-dosa dan menerima doa. Dia akan memerhatikan perlumbaan kamu dalam Ramadhan dan Dia akan membangga-banggakan kamu kepada para malaikatNya. Maka perlihatkanlah kepada Allah daripada kamu akan kebaikan. Sesungguhnya orang yang celaka ialah seseorang yang telah dijauhkan daripada rahmat Allah s.w.t. pada bulan ini."

Hadis Pilihan 2.

Daripada Hazrat Abu Sa'id-Khudri r.a. Rasulullah s.a.w. telah bersabda, " Sesungguhnya Allah s.w.t. mempunyai hamba-hamba yang dibebaskan (dari api neraka) pada setiap siang dan malam ( pada bulan Ramadhan) dan bagi setiap orang Islam ada satu doa yang dimakbulkan pada setiap siang dan malam (Ramadhan)."

Friday, August 28, 2009

KENANGAN SEMASA KECIL 13.

Ini bukan rumah abang buyong, hanya gambar hiasan saja.


Akak mempunyai saudara yang tinggal di Kg Serting Ulu, Kuala Pilah, Ng Sembilan. Abang Buyung adalah anak saudara sepupu kepada emak akak.

Beliau bertugas sebagai seorang anggota Polis berpangkat Sarjan di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur (dahulunya dikenali Balai Polis Jalan Campbell). Beliau tinggal bersama-sama kami sewaktu 3 tahun terakhir beliau bertugas sebelum pencen. Sebulan sekali beliau akan pulang kekampung untuk bersama anak-anak dan isterinya.

Ada ketikanya emak akak dan akak dibawa bersama-sama untuk menziarahi keluarganya.
Perjalanan dengan menaiki bas memang mengambil masa hampir sehari dari Pudu ke Seremban. Ambil bas lain pula untuk ke Pekan Kuala Pilah, dan seterusnya ambil bas lain ke Kg Serting Ulu. Seingat akak, untuk ke Pekan Kuala Pilah dari Seremban kami terpaksa melalui Bukit Putus. Tapi akak jarang muntah sewaktu menaiki bas yang terpaksa kerap membelok ketika melalui laluan Bukit Putus.

Selalunya kunjungan kami mengambil masa 2 atau 3 hari. Akak memang seronok kerana abang Buyung mempunyai 3 orang anak yang hampir sebaya dengan akak. Anak sulungnya perempuan telahpun mendirikan rumahtangga dan tinggal di Perak mengikut suaminya. Anak teruna kedua yang dipanggil Adang, berusia 4 tahun tua dari akak. Yang ketiga Udin, setahun tua dari akak dan Mainun anak bungsunya kurang 3 tahun muda dari akak.

Suasana di kampung dan kawan-kawan yang ramai memang menghiburkan. Kesejukkan malam hari dan awal pagi, cukup mengujakan akak apabila dapat mandi air perigi. Uhhhhh..... masih dapat akak rasakan kesejukan mandi air perigi.

Lepas sarapan, kami anak-anak mula keluar bermain-main. Ada ketika bila musim buah, dapatlah akak mengenali buah-buah yang jarang dapat akak lihat di bandar. Umpamanya buah kundang. Akak dibawa sekeliling kampung oleh saudara sepupu.

Sambil merayau keliling kampung, akak bertemu dengan ramai kawan-kawan sekampung dengan saudara sepupu. Tapi sayangnya waktu itu belum ada kamera, tak dapatlah menyimpan gambar-gambar kenangan dan nama mereka pun tidak lagi akak ingati.

Bila masuk waktu zohor, semuanya pulang kerumah dan dihidangkan makan tengahari. Kak Maznah isteri Abang Buyung memang pandai memasak masakan Negeri Sembilan. Memang enjoylah makan dalam suasana kampung.

Petang kami para kanak-kanak keluar rumah semula bermain hingga petang, sebelum maghrib, kami menuju ke perigi dan mandi. Wosh.... segar dan nyamannya.

Suasana pada waktu malam memang sunyi dan sepi... Untuk tahun 70-an suasana kampungnya memang sepi kerana belum ada mat rempit yang berkumpul dan membuat bising. Tenang dan damai sahaja.

Alhamdulillah. Akak bertuah kerana dapat merasa era 70-an,80-an dan hingga kini pembangunan makin pesat. Sudah agak payah untuk menikmati suasana aman dan damai seperti itu.

KENANGAN SEMASA KECIL 12


Gambar hiasan. Bukan gambar sawah di Sg Besar Selangor.

Ingin akak bawa pembaca kesatu daerah yang pernah akak kunjungi semasa kecil dahulu. Ianya terletak di Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor. Akak dibawa oleh saudara yang menziarahi adik mereka (yang juga saudara akak) yang bertugas di LPN (Lembaga Padi Negara ) cawangan Sungai Besar.

Perjalanan dari rumah kami di Kg.Baru kesana agak jauh juga. Puas juga lah menikmati pemandangan sawah padi yang menghijau sebaik masuk daerah Kuala Selangor.

Setibanya kami dirumah saudara kami, kami dibawa melawat Kilang Padi Sg Besar iaitu tempat saudara akak bekerja. Teringat akak bagaimana kagumnya akak dapat melihat sendiri bagaimana daripada padi menjadi beras dan bila dah masak, menjadi nasi.

Daerah Sg Besar yang tenang tanpa hiruk pikuk seperti di kota benar-benar membuat akak rasa seronok kerana dapat merasakan perbezaan tempat tinggal akak di bandar berbanding ketenangan kampung dengan pemandangan pokok-pokok kelapa, pokok-pokok mangga di sawah dan air dari tali air barhampiran sawah padi. (Sayang sekali semasa itu, akak tidak mempunyai kamera).

Kami dijamu nasi beras baru dan memang terasa keenakannya. Lauknya dah lupa, tapi buat seorang budak yang dapat menikmati keindahan kampung, tentunya seleranya besar. Dapat akak bayangkan bagaimana berseleranya akak.

Akak masih terbayang-bayang keindahan dan redupnya suasana di satu hari di Sungai Besar.

Thursday, August 27, 2009

MAJLIS PENYAMPAIAN HADIAH

Anak-anak adalah permata hati kedua ibubapa. Alhamdulillah kami dianugerahkan dengan 4 orang anak gadis.
Anak gadis kedua akak menerima hadiah sempena majlis penyampaian hadiah sekolahnya.

AVILLION





Dalam banyak-banyak tempat bercuti, akak cukup suka bercuti di Avillion, Port Dickson.

Ada kelainan sedikit hotel ni. Chalet terletak di atas air laut dan ada di sediakan ruang untuk melihat anak-anak ikan berenang-renang kala air pasang di dalam bilik air. Anak-anak akak, kalau dapat peluang dibawa kesana cukup seronok.

Hotel ini juga menyediakan tempat peliharaan binatang-binatang seperti burung merak,burung merpati,guinea pig, kura-kura, arnab, ayam hutan dan adalah akak lupa namanya.

Restorannya agak menarik kerana berdekatan dengan kolam renang. Anak akak suka bermain dikolam renang Avillion kerana terdapat kolam renang untuk kanak-kanak kecil dengan slide, dan juga kolam renang besar tetapi taklah begitu dalam.

Pemandangannya amat cantik sekali.

Insya'Allah, panjang umur ada rezeki.....kita bercuti lagiiiii.....

Thursday, August 20, 2009

KENANGAN SEMASA KECIL 11.


Sewaktu akak berusia 14 tahun, sewaktu zaman sekolah dahulu, akak memang suka berkawan dengan berbagai lapisan umur. Yang adik, dianggap adik angkat dan yang senior sedikit jadilah kakak angkat. Biasalah orang perempuan, beza satuhari aje umur, dah panggil kakak. Kami bersekolah hanya perempuan sahaja maka makin meriahlah adik yang mencari kakak angkat dan kakak yang mencari adik angkat.

Tak terlepas dari kemeriahan tersebut adalah akak. Akak mempunyai seorang kakak angkat yang amat panjang rambutnya. Sepasang mata yang menarik dan berkulit hitam manis. Kami para junior memanggilnya Kak Mie.

Kak Mie tinggal di asrama berdekatan dengan sekolah kami. Bila ada waktu terluang seperti hari Sabtu, kak Mie suka mengajakku keluar menonton wayang dan 'window shopping'. Dan pada tengahari sabtu tersebut kami memilih untuk menonton wayang di Kompleks Ampang Park.

Sepulangnya kami dari menonton wayang, dahpun waktu petang dan olehkerana kami gemar berbual-bual maka kami mengambil keputusan untuk pulang ke asrama dengan berjalan kaki. Kami menyusuri sepanjang Jalan Ampang dan kemudian mengambil keputusan untuk mengambil jalan pintas dengan memasuki kawasan Perkuburan Jalan Ampang.

Sedang asyik leka kami berbual-bual, kami pun sudah berada dalam kawasan perkuburan Jalan Ampang dengan memberi salam yang disunatkan dan memulakan berjalan dengan berhati-hati sambil memerhatikan disekeliling kami yang dipenuhi dengan kubur.

Tiba-tiba akak menjerit terkejut yang teramat sangat kerana leher dan bahu akak seakan disambar sesuatu. Rupa-rupa Kak Mie membuat pusingan 90 darjah kepalanya dan rambutnya yang panjang tidak diikat telah mengenai tengkuk dan bahu akak..., dah lah kita sedang berjalan di kawasan perkuburan, manakan tak terfikir yang bukan-bukan... Akak menjerit dan Kak Mie pun terkejut. Sama-sama tenangkan diri dan membaca Ayat Kursi, berjalan laju-laju menuju pintu keluar di bahagian Kampong Bharu dan setelah sampai di asrama barulah kami boleh menceritakan kejadian tersebut.

Tapi kini Alhamdulillah. Kanak-kanak sekolah sejak dari sekolah rendah (yang perempuan) telah diberikan kesedaran agama bertudung dari kecil dan bagi yang lelaki ada ibubapa memberikan anak mereka memakai songkok ke sekolah.

Alhamdulillah.
Kenangan bersama teman sebaya ada juga kisahnya.
Sepulang dari sekolah kami gemar mengambil jalan jauh untuk pulang kerumah. Selepas penat berjalan, kami pun singgahlah di tempat orang menjual airbatu dengan menaiki kereta sorong. Mereka berniaga selalunya tanpa lesen yang sah dan seringkali berhati-hati kalau-kalau penguatkuasa bandaraya datang untuk menyaman mereka.
Sedang akak dan teman asyik menghirup air cendol, tiba-tiba peniaga cendol yang kami beli, lekas-lekas melarikan diri sebaik ternampak penguatkuasa. Tinggallah kami yang awalnya berdiri di tepi kereta sorong tersebut tinggal terpingga-pingga dengan semangkuk cendol dan dalam keadaan kehairanan. Memang lucu rupanya tanpa si penjual cendol dan kereta sorongnya. Tiba-tiba dua orang budak sekolah sedang memegang mangkuk berdiri tegak di tepi bangunan. Lawak betul.
Kami tidak dapat menunggu si penjual cendol kerana entah mana dia dah menghilangkan dirinya. Mangkuk yang di tangan kami, kami tinggalkan di tepi jalan. (Muga-muga sipenjual cendol datang semula dan mengutip mangkuknya).

Tuesday, August 18, 2009

KENANGAN SEMASA KECIL 10.

Macam inilah rupanya buah gajus mak cik yam, jiran maktua di selayang baru. Biji diluar buah itulah yang akak gigit dan menyebabkan mulut akak rasa pijar kerana getahnya.

Beginilah rupa lombong dihadapan dan dibelakang rumah maktua di Selayang Baru.

Kita kembali semula pada kenangan akak masa kecil dahulu. Akak hanyalah seorang anak yang dibela oleh mak saudara akak. Kami hanya tinggal bertiga dirumah arwah ibubapa mak angkat akak. Tapi, walaupun begitu.... olehkerana akak dibela dari sejak lahir, akak merasakan itulah emak yang melahirkan akak. Beliau mempunyai seorang kakak, seorang adik perempuan dan seorang adik lelaki. Malangnya adik lelaki mereka terlebih dahulu meninggalkan mereka dalam usia yang muda dan telahpun berumahtangga.

Marilah akak bercerita mengenai kakak kepada mak angkat akak. Namanya Pn Zabedah. Akak memanggilnya Mak Tua dan mak akak dan adiknya memanggil Kak Long. Mak akak dipanggil Mak Ngah dan adik perempuan mak akak di panggil Mak Cik.

Mak Tua akak ni, mempunyai hanya seorang anak lelaki. Beliau bertugas sebagai askar dan selepas pencen beliau bekerja di Tan Chong Motors. Olehkerana mak akak tiada mempunyai anak lelaki, pada Abang Mat dan keluarganyalah tempat mak menumpang kasih dan mengadu kesusahan.

Abang Mat ni tinggal di Kampong Selayang Baharu bersama isteri dan 7 orang anaknya. Dengan memiliki keluarga yang besar begitu dan umur anak-anak yang sebaya dengan akak, menjadikan akak merasa cukup seronok andainya dapat menghabiskan masa di situ.

Abang Mat adalah seorang yang amat bertanggupjawap terhadap keluarganya dan juga kepada keluarga kami. Perbelanjaan bulanan turut juga dikeluarkan buat emak angkat akak. Jika beliau ingin membawa keluarganya pergi berkelah, akak dan emak seringkali dibawa bersama. Dengan memiliki beberapa jenama kereta sebelum itu, kereta yang paling akak ingat ialah Austin dan Datsun. Tak dapat akak ingat bagaimana kami semua boleh muat dan tidak pula bergaduh akibat sempit macam perangai anak-anak akak.

Dengan membawa penumpang iaitu 4 orang dewasa dan 7 orang kanak-kanak (masa dulu, anaknya yang bongsu belum lahir lagi), boleh mencukupi untuk kami beramai-ramai menuju ke pantai Port Dickson ataupun Morib. Sering juga kami menziarah kaum keluarga yang tinggal di Kg. Serting Ulu, Kuala Pilah, Ng Sembilan, dan Kg Sungai Sekah, Nilai, Ng Sembilan. Kalau ke Lake Garden, Kuala Lumpur memang keraplah beliau membawa anak-anak dan termasuklah......akak.

Mak Tua seorang yang pandai mengubati jika kanak-kanak kecil terkena keteguran.
Biasalah, orang dahulu-dahulu.... budak kecil meragam aje.., dipanggil kena keteguran. Maka datanglah mereka ke rumah Mak Tua membawa dua tiga biji kunyit hidup dan akan dijampi oleh Mak Tua. Dengan kuasa Allah jua yang menyembuhkan, kunyit jampi Mak Tua dapat mengubati anak kecil itu.

Mak Tua juga mempunyai hidangan istimewa ketika menyambut Hari Raya. Beliau akan datang kerumah kami dan berkumpul bersama-sama adik-adiknya memasak juadah istimewa masing-masing. Mak Tua akan membuat Kuih Bahulu. Memang cukup terkenal betul keenakan kuih-muih Hari Raya dari mereka tiga beradik. emak akak akan membuat Wajid Pulut dan Rendang Ayam. Manakala Mak Cik akan membuat Kuah Kacang dan Ketupat, Maruku, Maruku Potong (Kuih bawang) dan Bepang.Voilla........ Sedappppppp......

Mak Tua pula mempunyai hobi menghisap rokok Tembak. Setiapkali Mak Tua kerumah kami, aku akan diupah ke kedai membeli rokok Tembak dan dapatlah aku duit belanja membeli asam masin.

Cucu Mak Tua yang paling rapat denganku adalah satu-satunya cucu perempuan Mak Tua bernama Shahidah. Kami akan bermain bersama-sama setiapkali kami jumpa. Jika aku berada di rumah mereka, selepas makan tengahari, kami akan menaiki basikal hingga ke Kampong Nakhoda. Jika tidakpun, kami akan bermain-main beramai-ramai dengan adik beradiknya dan teman-teman yang tinggal dikawasan berdekatan dengan rumah mereka.

Kami pula mempunyai seorang/nama yang cukup untuk menakutkan kami. Bila di sebut nama mak cik tersebut, kami akan segera pulang ke rumah. Namanya Mak Cik Marom. Tak pernahlah kami di apa-apakan oleh mak cik tersebut, tapi dengan mendengar namanya sahaja, cukup membuatkan kami kecut perut. Entah apa pula yang telah dimomok-momokkan oleh orang-orang tua, tidak pula kami tahu. Yang pasti bila tersebut nama Mak Cik Marom, maka menggigillah kami anak-anak bawah usia 12 tahun.

Jiran Mak Tua mempunyai sebatang pokok buah jagus. Akak yang tidak pernah merasai bagaimana rasa buah tersebut menyangka bijinya yang lebih besar daripada buah yang sebenarnya, terus memetik dan memakan buah tersebut. Ya Rabbi, peliknya rasa...lidah akak menjadi lidas dan pelik akibat terkena getah buah jagus. Sejak dari hari itu, tak pernah akak berani-berani mengambil buah tersebut. Hingga sekarang olehkerana pengalaman teruk dilidah dan mulut akibat getah buah jagus, akak tak pernah merasai sedapnya seperti kata kawan yang pernah merasainya buah jagus masak ranum.

Di Kampong Selayang Baharu, terdapat 2 buah lombong. Satu di bahagian belakang rumah Abang Mat dan satu lagi berdekatan surau dan Kilang Batik iaitu dibahagian hadapan rumah Abang Mat. Kami amat suka bermain di lombong bahagian belakang rumah Abang Mat kerana terdapat banyak rumah-rumah berhampiran lombong tersebut. Tidaklah begitu menakutkan jika kami ikut adik-beradik Syahidah memancing di situ.

Sebelum lombang tersebut tertutup oleh tumbuhan teratai, aktiviti memancing memang menjadi routine penduduk di situ dan juga ada yang mengambil pohon-pohon keladi untuk dibuat masakan. Satu kenangan mengikut Mak Tua mengambil pohon-pohon keladi, kami (akak dan syahidah) yang mengikut belakang Mak Tua mengatakan; " Nek, Sini banyak selut....( Lumpur yang membenamkan kaki).... Jawap Mak Tua: " Eemmmm, keladi memang ganyut....". Masih terkenang dan terasa lucunya jawapan dari Mak Tua. Ganyut tu membawa maksud - Tua; Keladi tu dah tua.

Mak Tua memang seorang yang berperibadi tinggi. Beliau menjadi seperti ikon orang tua di kawasan kampong tersebut. Rata-rata yang mengenali beliau, amat menyenangi peribadi beliau. Pada hari pengebumiannya, ramai orang yang datang berziarah. Beliau begitu dikenali kerana sikapnya rajin menolong orang yang dalam kesusahan. Biarpun pada tengahmalam orang yang datang minta dijampi kunyit, beliau masih melakukkannya tanpa merungut.

Semuga Allah menempatkan Mak Tua bersama-sama para solihin dan kekaseh Nya. Amin.

KETABAHAN PETUGAS SOKONGAN HOSPITAL.

Setelah berada selama seminggu di dalam wad CCU, Hospital Serdang, malam tadi 17hb Ogos 2009, akak telah pun 'Clean Bill Of Health' (konon aje..) dan dapat pulang kerumah menemui keluarga tercinta. Tapi betul juga kata seorang sister tu, " Nanti kalau U dah balik rumah, U akan merindui anak-anak U yang dekat sini....". Maksudnya para petugas sokongan seperti Sister, Staff Nurse, Medical Asistant dan PPK.

Betul, memang akak merindui mereka. Lebih-lebih lagi pada mereka yang betul-betul terlibat dalam usaha menyelamatkan dan merawat akak selama akak di Emergency Department dan CCU. AllahuAkbar. ALLAH sajalah yang membalas segala jasabaik dan budi mereka.

Memang, kalau sekali lihat mereka hanya melakukan kerja yang di arahkan dan telah dipertanggungjawapkan. Tapi akak boleh lihat keikhlasan mereka dalam menjalankan tanggungjawap tersebut.

Mari akak ceritakan pengalaman akak selama akak berada di dalam wad CCU.

Terdapat seorang dua pesakit yang boleh akak katakan membuka mata akak mengenai apa yang perlu para petugas sokongan ini hadapi.

Pertamanya, seorang pesakit yang tidak mahu memberikan kerjasama. Jika terdapat peralatan yang perlu disambungkan kepada mereka dalam usaha membantu untuk merawat mereka, sebaik sahaja mereka tersedar dari 'intubate' dan dah 'extubate', mereka tidak selesa dengan saluran yang di sambung ke leher, (cathether yang menyambungkan untuk memberi ubat-ubatan spt antibiotik) , Artline ( cathether yang dimasukkan di urat nadi tangan untuk mendapatkan bacaan darah tinggi pesakit ) dan juga yang disambungkan kepada .......( untuk pengeluaran air kencing pesakit ) dan juga pampers.

Ada pesakit yang memang tidak menyenangi akan sambungan-sambungan hayat tersebut. Ada yang akan mencuba membukanya sendiri dan ingin keluar pulang kerumah.

Tetapi ada pesakit yang setelah sedar, bertindak kasar dengan memarahi Staff Nurse dan bertindak cuba menarik sambungan itu keluar. Tidak dinafikan memang sakit, tetapi itulah antara usaha-usaha dalam menyelamatkan pesakit.

Bukan setakat itu sahaja, mana pesakit yang betul-betul tak berpuashati akan menendang para petugas dan ada yang menggigit dan mencubit tangan staff nurse semasa mereka cuba memberi mandian secara mengelap badan pesakit.

Kisah pesakit menendang di muka staff nurse, memang terjadi ketika akak masih diberikan rawatan di wad CCU. Akak terdengar para petugas menjerit terkejut kerana kaki pesakit sudah menendang muka seorang staff nurse yang sedang memberikan ubat antibiotik kepada pesakit itu. Dahsyatnya, perangai pesakit tersebut dalam membalas budi baik staff nurse yang berusaha untuk membantu mereka sihat. Seolah-olahnya pada mereka staff nurse ingin menyakiti mereka.

Ada pesakit yang dengan senang hati mengeluarkan kata-kata yang lucah dan menyumpah dan mencarut petugas tersebut. Tidak kurang juga, pesakit tersebut meludah muka para petugas sokongan itu. Melampau sungguhkan.

Jika akak tidak dengar dan lihat sendiri dan mendengar cerita dari staff nurse dan PPK, akak payah nak percaya kesanggupan seorang pesakit melakukan yang begitu pada staff nurse.
Bila akak dengar staff nurse menjerit terkejut, akak akan tanya mereka apa yang terjadi. Mereka pun menceritakan pesakit tersebut baru saja menendang, meludah, berkata kasar dengan mencarut, meraba staff nurse pun ada.... Manalah adab-adab mereka ni?? Mana hilangnya kesopanan dan tata susila seorang manusia?....

Ada pesakit yang merungut-rungut dan mengadu kepada doktor yang merawat staff nurse kasar dalam membuat kerja. Tetapi akak sendiri yang mendengar dan menyaksikan cerita sebenar.

Sepanjang malam, pesakit tersebut merintih mengatakan sakitnya. Meminta ubat dan kalau boleh hendak seseorang memicit badannya ( Seperti yang anaknya selalu lakukan padanya ). Staff nurse, jika kita minta secara baik, mereka memang akan bersedia membantu kita. Tapi, mintalah secara baik dan berhemah. Ini, asyik menjerit-jerit tanpa menghiraukan pesakit lain. ( Pernah satu malam pukul 3 pagi, akak menggaru-garu kaki yang gatal akibat lama memakai setokin, datang staff nurse mengambilkan air panas dan kain tuala kecil, dilap-lapkannya kaki akak sehingga rasa hilang gatal dan lega.)

Staff nurse dah beri ubat untuk melegakan dia dan pesakit tersebut hanya membebel saja. Itu tak kena, ini tak kena.... dia hendak berhenti dari menjalani rawatan dialysis dan mahu staff nurse membuka dan menghentikan mesin dialysis, staff nurse tak buatlah, tak mahu beri ubatlah. Macammana staff nurse nak pandai-pandai beri ubat dan menghentikan mesin dialysis tanpa arahan doktor?

Disebabkan tidak berpuas hati pesakit tersebut, semasa staff nurse mengelap badannya subuh tersebut, pesakit itu sengaja menjerit kuat-kuat seolah-olahnya telah mengalami kesakitan teramat sangat. Akak yang berada di bilik bersebelahan amat terkejut dan menyangka pesakit itu mengambil keputusan menarik wayar dialysis yang sedang terpasang di lehernya, rupa-rupanya dia menjerit kerana badannya dilap oleh staff nurse tetapi sengaja dia mengatakan " Apa ni nurse, buatlah kerja baik-baik...kasar sangat". Pada hari pertama dan kedua, akak memang di lap oleh staff nurse tetapi tidaklah kasar sangat rasanya. Mereka lap dengan baik dan apalagi yang kita mahu?

Macam-macam...saja dia nak jadikan isu. Bila doktor datang buat lawatan, dia akan mengadulah macam-macam.

Ada satu lagi kisah seorang 'Medical Assistant'. Beliau menceritakan pengalaman beliau. Kejadian tersebut berlaku semasa beliau bertugas pada malam hari Raya Aidil Fitri.

Datanglah seorang pesakit yang di bawa oleh keluarganya ke Wad Kecemasan. Sebaik sahaja MA tersebut ingin memberikan rawatan, MA tersebut telah diludah oleh pesakit tersebut. Mengapa?...mana perginya adab kita?, sesuka hati aje ke nak meludah seseorang apalagi orang tersebut bertanggungjawap untuk merawat kita?...

Mana perginya nilai-nilai kemanusiaan mereka?... Adakah petugas itu hanya bertugas semasa mereka sakit?, maksudnya.. pada malam tersebut hanya pesakit itukah yang perlu dirawat?..Dan begitukah balasan yang sewajarnya diberikan?...

Malunya dilahirkan manusia tetapi berperangai macam haiwan. Memang akak tahu keadaan pesakit yang sedang sakit tapi janganlah bertindak ganas begitu. Setiap kesakitan adalah ujian dari ALLAH s.w.t. bukan untuk menyakiti kita tetapi untuk dibalaskan dengan pahala jika kita redha dan berdoa kepadanya. Janganlah kerana sakit, kita menjadi hilang pertimbangan. Ini belum lagi jika mereka perlu berhadapan dengan pesakit yang mempunyai risiko tinggi jika dijangkiti seperti AIDS, H1N1, Denggi, J.E dan lain-lain yang turut akan membahayakan nyawa mereka jika dijangkiti.

Untuk adik-adik dan anak-anak para petugas sokongan hospital, sungguh mulia kerjaya mu dan bukan calang-calang orang mampu melaksanakannya. Hanya ALLAH s.w.t. sahaja yang dapat membalasnya.

Friday, August 14, 2009

Terapi Terhadap Dahsyatnya Musibah - di ambil dari Buku Mengubat Cara Nabi

Begitu terkesan akak setelah membaca sebuah buku bertajuk Mengubat Cara Nabi oleh Imam Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah.
Dalam menghadapi penyakit yang bertimpa-timpa begini, akak perlukan sesuatu ayat/perkataan yang dapat menaikkan kembali semangat akak dan menanamkan keimanan dalam merasa redha untuk menanggung penderitaan ini. Entah bagaimana, datang seorang teman baik kepada adik ipar akak yang bernama Wan Azreena, Pensyarah Psikologi Kanak-kanak, Universiti Kebangsaan Malaysia, menziarah akak dan menghadiahkan buku ini.
Di dalamnya ada tercatit berbagai-bagai Mengubat Cara Nabi termasuklah dengan pemakanan cara Rasulullah s.a.w. Di dalamnya ada penulisan mengenai Terapi Mengatasi Kesusahan, Kegundahan dan Perasaan Sedih.


9 Terapi Terhadap Dahsyatnya Musibah.

Allah s.w.t.
Di ambil dari buku tersebut muka surat 109.

Dikeluarkan dalam Sahih Al-Bukhari dan Muslim, dari hadith Ibnu Abbas r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. sewaktu ditimpa kesusahan, biasanya berdoa:

Ertinya:
Tidak ada yang berrhak disembah secara benar melainkan Allah s.w.t. yang Maha Agung danmaha Lembut. Tidak ada yang berhak disembah secara benar melainkan Allah s.w.t., Rabb (tuhan) Arsy yang agung. Tidak ada yang berhak disembah secara benar melainkan Allah s.w.t. Rabb langit yang tujuh. Rabb bumi serta Rabb Arsy yang mulia.

Dalam Jami' At-Tirmidzi diriwayatkan dari Saad bin Abi Waqqas r.a. menceritakan, Rasulullah s.a.w. bersabda: "Doa Dzun Nun (Nabi Yunus) sewaktu masih berada dalam perut ikan paus adalah sebagai berikut:

Ertinya:
" Tidak ada yang berhak disembah secara benar melainkan Engkau, Maha Suci Engkau, sesungguhny aku ini termasuk orang-orang yang zalim."

Setiap muslim yang berdoa dengan doa tersebut pasti,akan dikabulkan.


PERGI TAK KEMBALI

Setiap insan pasti merasa
Saat perpisahan terakhir
Dunia yang fana akan ditinggalkan
Hanya amalan yang dibawa

Terdengar sayup surah dibaca
Sayunya alunan suara
Cemas di dada...lemah tak bermaya
Terbuka hijab di depan mata

Selamat tinggal pada semua
Berpisahlah kita selamanya
Kita tak sama nasib di sana
Baikkah atau sebaliknya

Amalan dan takwa jadi bekalan
Sejahtera bahagia pulang..... ke sana

Sekujur badan berselimut putih
Rebah bersemadi sendiri
Mengharap kasih anak dan isteri
Apa mungkin pahala dikirim

Terbaring sempit seluas pusara
Soal-bicara terus bermula
Sesal dan insaf tak berguna lagi
Hancurlah jasad dimamah bumi

Berpisah sudah segalanya
Yang tinggal hanyalah kenangan
Diiring doa dan airmata
Yang pergi takkan kembali lagi

Begitulah lirik nyanyian nasyid yang telah disampaikan oleh Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim yang juga dikenali sebagai Ustaz Asri Ibrahim. Beliau yang dipinjamkan sementara buat keluarganya telah dipanggil kembali oleh ALLAH s.w.t. pada pagi Khamis 13hb Ogos 2009 jan 1030pagi. Allahyarham berusia 40tahun meninggalkan seorang balu dan 6 orang cahayamata. Mari kita bersama-sama menyedekahkan surah Al-Fatihah agar Allahyarham ditempatkan berrsama orang-orang yang beriman dan yang dikasihi ALLAH s.w.t. Amin.

Akak juga ada cerita yang hampir serupa. Pada malam 10hb Ogos 2009 pukul 115pagi, akak telah mengalami kesesakan nafas. Akak cuba untuk baring tetapi kesesakan nafas membuatkan akak tak selesa dan mencuba untuk memakai oksigen, tidak membantu. Akak mengejutkan suami akak yang sedang baru lena tertidur, beliau terus bingkas bangun dan meminta akak memakai Oxy meter. Bila bacaan Oxy meter semakin menurun, beliau terus menalipon ambulan dari Hospital Serdang dan kakitangan CCU dan Emergency Department dan juga pakar bius yang 'on call'.

Setibanya ambulan dirumah kami, pintu utama dah dibuka dan kakitangan ambulan dibenarkan masuk dan terus memasuki bilik kami. Melihatkan akak yang masih tercunggap-cunggap, suami akak meminta se unit oksigen yang akan digunakan untuk membantu pernafasan akak yang makin tersekat-sekat. Setelah itu mereka pun mengangkat akak untuk di bawa turun dan dibawa masuk ke dalam ambulan. Olehkerana bahagian tangga rumah akak agak tinggi agak menyukarkan kerja-kerja mengangkat turun menggunakan stretcher. Adik ipar akak turut membantu tenaga dalam usaha membawa turun akak ketingkat bawah. Di selekoh tangga kami, akak merasakan kepayahan yang mereka alami, dalam termengah-mengah akak menawarkan diri untuk turun dari strectcher dan berjalan sendiri turun tetapi mereka mencuba sedaya upaya membawa akak turun.
Dengan kesesakan nafas akak, akak tak boleh baring dan hanya mampu duduk di atas strecher.
Alhamdulilllah, usaha mereka membawa akak masuk ke dalam ambulan, akhirnya berjaya.

Di dalam ambulan, akak sekali lagi tak dapat baring dan dengan menggunakan 2 unit oksigen akak duduk di katil ambulan tanpa diikat. Olehkerana ambulan perlu laju dan cepat sampai ke hospital, akak dan suami terhoyong hayang sepanjang dalam perjalanan ke Hospital Serdang.

Setibanya di Jabatan Kecemasan, sebaik akak dibawa turun terus masuk bilik rawatan 'Red Zone'. Sambil menunggu doktor pakar bius yang baru tiba memulakan kerja-kerjanya, akak dengan ayat terakhir meminta tolong kepada suami akak yang seringkali mengajar akak mengucap, selepas itu akak terus pengsan sebelum ubat tidur diberi.
Syukur alhamdulillah, sesedarnya akak pagi isnin tersebut, akak dapat ingat dengan baik bahawa akak sedang dibantu bernafas melalui intubated dan ventilated. Dengan penuh syukur akak merasakan walaupun alat intubated masih dalam mulut dan kerongkong, akak merasakan perbezaan dalam bernafas sebelum di intubated dan selepas di intubated.

AllahuAkbar, besar kurniaanmu memberi akak peluang yang tak tahu berapa lama lagi untuk dapat bersama-sama suami dan anak-anak tercinta.
Ya Allah, ampunkan segala dosaku dan ambillah aku ketika aku sudah dapat membersihkan diriku dari dosa dan tempatkanlah aku bersama-sama roh orang yang beriman dan dikasihi ALLAH s.w.t. Amin.

Sunday, August 9, 2009

Gold Coast, Australia.

Belakang hotel kami.

Bilik anak-anak di Marriot Gold Coast.

Belakang Hotel penginapan kami, turun tangga ni terus ke pantai yang cantik bersih putih...

Laut yang kebiruan airnya dan putih bersih pasirnya.

Pertunjukan Anjing laut, amat menghiburkan.

Ikan Lumba-Dolphin dengan aksinya yang menghiburkan.



Pintu masuk ke Sea World, Gold Coast, Australia.
Gambar ini agak kelabu kerana semasa kunjungan kami di Gold Coast Australia, kami belum mempunyai kamera digital. Hanya satu camcoder dan kamera biasa.

Anak akak telah mengambil gambar ini semula dengan menggunakan kamera handphone dan hasilnya tidak begitu terang.

Takpalah, yang akak nak ceritakan ialah semasa kunjungan kami ke sana.

Syukur Alhamdulillah kerana akak telahpun berpeluang membawa anak-anak makan angin kesana ketika akak masih sihat.

Jika sekarang kami kesana, bayaran untuk dialysis akan mengosongkan poket kami. Sekurang-kurangnya jika kami makan angin selama seminggu setidak-tidaknya 3kali dialysis. Menurut seorang teman yang sama-sama dialysis, beliau pernah melakukan dialysis di sana kerana menghadiri majlis perkahwinan anaknya, kadar sekali dialysis yang dikenakan adalah bersamaan dengan rm1,500.00. Aduh..... jika di kali dengan 3kali dialysis, rm4,500.00.

Mahunya habis duit untuk dialysis aje... Nak makan sekeluarga, nak masuk ke Taman Tema yang terdapat di sana.... Alhamdulillah lah, akak dan suami dan merasa membawa anak-anak kesana. Kecuali anak yang bungsu. Masa kami pergi, dia belum lahir lagi.

Memang seronok dapat membawa anak-anak berhibur dan melancung keluar negara. Anak-anak cukup teruja dan sentiasa mengenangkan kenangan mereka kesana.

Hotel kami betul-betul berhadapan dengan Surfers Paradise. Pasirnya sungguh halus, bersih dan putih. Seronok betul memijak pasir tersebut.

Kami berkesempatan melawat Sea World, Movie World dan Mengunjungi Paradise Country. Di Paradise Country kami melihat cara-cara bulu biri-biri di cukur dengan tangan dan mesin dan juga cara-cara penternak-penternak kuda dan lembu membuat kerja-kerja mereka. Disana juga kami berpeluang melihat Koala dan Kanggaru.

Di Movie World pula, kami di hiburkan dengan karekter katun-katun seperti Batman,Tweety Bird,Bugs Bunny,Asutin Powers,Scooby Doo dll. Yang menjadi kenangan sehingga kini ialah pengalaman menaiki roller coaster Scooby Doo. Olehkerana roller coaster itu berada dalam tempat yang tertutup, yang boleh kita lihat seperti roller coaster yang lain, maka kami anak beranak sanggup mencuba untuk menaikinya.

Setelah mendapat tempat duduk, setiap bangku untuk 2 orang penumpang, akak memilih untuk duduk dengan anak ketiga, manakala anak sulung dan anak kedua duduk di bahagian belakang. Abahnya duduk bersama penumpang lain.

Setelah roller coaster memulakan perjalanan, barulah akak merasa sangat menyesal kerana berani-berani mencuba. Roller coaster tersebut membuat pendakian yang agak tinggi dan kemudiannya turun menurun dengan lajunya dengan arah terbalik. Maksudnya kalau tadi, semasa mendaki kita pandang kedepan, tetapi semasa turun, kita membelakang. Ya Allah, kecutnya perut akak Tuhan aja yang tahu. Puas akak memegang anak-anak, rasanya tak cukup tangan dan akak turut menjerit meminta mereka menutup mata kerana akak kuatir sangat kalau mereka jadi takut mereka akan melompat ke, ape ke... nak jadi malang, semua boleh berlaku.

Tapi syukur Alhamdulillah la, anak-anak akak walaupun takut tapi tidak lah menangis menjerit kerana jika mereka menangis, akak tentunya lagi menjadi susah hati dan bimbang.
Sebaik turun, anak-anak akak semuanya menangis ketakutan. Sejak peristiwa itu, kami tidak lagi berani-berani nak menaiki apapun bentuk roller coaster.
Semasa di Sea World, pengalaman melihat jerung, dolphin dan Polar Bear menjadi satu kenangan yang manis. Bukan mudah nak lihat binatang laut tersebut di Malaysia. Yang menggembirakan kami ialah pihak Sea World menyediakan Mussala (Surau) untuk pengunjung Islam bersolat.

Akak terkenang juga anak akak yang bungsu yang pernah merasa sedih apabila kami menonton tayangan video kunjungan kami kesana. Berkali-kali ditanyanya akak manakah gambarnya. "Masa ni, mana Aisyah?.." Akak jawap," Aisyah kat abahlah, kat tepi sanalah.." Hinggalah akhirnya dia menyedari memang dia tiada semasa kami kesana dan dia terus menutup tv.

Sejak itu akak tidak lagi menonton video kami berkunjung ke Gold Coast. Tetapi, akak berazam juga, jika di masa akan datang kami mempunyai rezeki, ingin akak membawa anak akak yang bungsu merasakan pengalaman ke Gold Coast. Insya'Allah.

Puting.



Add Image







Hendak akak berkongsi cerita tentang kegemaran menghisap puting oleh anak bungsu akak. Kegemaran ini hanya berlaku padanya dan tidak pada ketiga-tiga orang kakaknya.

Akak terpaksa sentiasa membelikan puting kerana kuatir seandainya puting tersebut hilang ataupun salah letak. Anak akak akan meragam seandainya puting tersebut tiada semasa dia memerlukan.

Ada pakar mengatakan kanak-kanak yang menghisap puting akan merasakan berasa di zon yang selesa bila menghisap puting.

Setelah anak akak berusia 2tahun, akak terus mengambil keputusan untuk menghentikan ketagihannya menghisap puting. Puting-puting tersebut akak sorok dan lihat kesannya. Jika dia benar-benar mahu hisap dan meragam, akak akan beri. Tetapi syukurlah, anak akak tidak pula meragam setelah akak beritahu tiada puting dan dia seakan boleh terima. Sejak itu dia tidak lagi memerlukan putingnya.

Saturday, August 8, 2009

KLCC dan Jalan Ampang.


35 tahun dahulu, sebelum KLCC di bina, tapak asalnya adalah Padang Lumba Kuda. Sepanjang Jalan Ampang hanya terdapat dua tiga buah bangunan tinggi. Antaranya Wisma Central, Wisma Bunga Raya dan Bangunan Getah Asli dan Bangunan Midf. Tempat shopping hanyalah Ampang Park.
Lihat sajalah sekarang, boleh dikatakan keseluruhan Jalan Ampang itu telah dipenuhi dengan bangunan-bangunan tinggi dan hotel-hotel yang bertaraf antarabangsa. Alhamdulillah, dalam usia 45tahun ni, akak merasa melihat perubahan dan pembangunan di Kuala Lumpur ini.

Bunga Tulip




Semasa kunjungan suami akak ke Belanda, akak ada memesan jika ada bunga tulip belikanlah sekuntum. Bukannya apa, akak pernah kesana, tapi pada masa itu bukan masa musim bunga, tiada semasa kunjungan akak kesana. Teringin sangat nak tengok bagaimanalah rupanya.
Sekembalinya beliau dari sana, semasa kami mengambilnya di lapangan terbang KLIA, terkejut akak. Sejambak bunga tulip yang dibawanya pulang. Wow! dengan berbagai-bagai warna, cantik sungguh. Gembiranya hari tak terkira... Hendak sekuntum dapat sejambak.
Alhamdulillah.... Terima kaseh.

Anak Sulung



















Anak sulung akak yang bertudung biru.



Marilah akak kisahkan pula sempena kelahiran anak sulung akak ni.

Tiga minggu sebelum akak di jangka melahirkan, akak kerap di masukkan ke wad bersalin kerana rasanya seakan-akan ingin bersalin tetapi bila doktor pantau sehari dua, belum lagi. Akak dimasukkan ke wad bersama-sama ibu yang benar-benar akan melahirkan, Jadinya, kebanyakan ibu-ibu yang lain masuk wad, bersalin dan terus ada baby. Puaslah akak menanti-nanti hari yang tak juga tiba-tiba.

Dalam waktu tiga minggu itu, akak akan keluar dan masuk wad. Kadang-kadang ada macam turun darahlah. Masuk wad... Doktor periksa, laluannya masih belum buka. Pulang kerumah.
2hari sebelum waktu bersalin yang sebenar, akak masuk wad lagi. Tunggu juga. Hinggalah pada pagi hari keduanya, akak terasa macam terkencing. Rupanya air ketuban dah pecah. Terus akak dimasukkan ke dalam dewan bersalin. Sambil menunggu suami akak yang ketika itu sedang berada di rumah, akak melihat sekeliling. Terdapat seorang lagi ibu yang akan melahirkan baby. Selang beberapa minit, kedengaran tangisan bayinya. Wah mudahnya, fikir akak.

Selepas suami akak tiba dan berbincang dengan doktor, akak pun diberikan epidural. Pertama kali kena cucuk epidural ni, terasa juga sakitnya. Kesakitan rasa nak bersalin sebelum ini, dah hilang.

Dari tengahari membawa kepetang, puaslah akak menunggu bukaan laluan untuk bayi. Doktor yang merawat akak bernama Dr Maimunah. Dia dan suami sama-sama menunggu jika bukaan boleh buka 10cm. Sejam sebelum akak melahirkan, akak mula merasa sakit hendak bersalin. Macam-macam rasa. Ubat epidural hanya berkesan pada sebelah badan, sebalah badan lagi merasakan kesakitan yang amat sangat. Kiranya itu baru separuh sakit bersalin yang akak rasa.

Memandangkan air ketuban dah lama pecah, tetapi menantikan bukaan masih tak buka-buka, doktor berbincang ingin membuat pembedahan dalam usaha mengeluarkan baby. Doktor dan suami memberi masa dalam 10 minit saja lagi.

Dalam menunggu 10 minit tersebut, akak terasa bagai nak membuang air besar.
Akak mengajak suami akak bawa akak pulang kerana akak terasa nak buang air besar teramat sangat. Fikir akak, kalaulah akak terlepas kat situ...memang besar sangatlah .........Jadinya kalau buang air besar di rumah, taklah malu sangat dan selesa. Doktor memberitahu itulah tanda baby dah dekat nak keluar. Disuruhnya akak teran dan kelihatan kepala baby. Puas juga akak meneran tapi tak juga keluar.

Akhirnya setelah berkali-kali cuba, keluarlah baby yang seberat 4.2kg. Punyalah besar bagai baby yang sudah berusia sebulan dua. Setelah dibersihkan dan koyakan dari bersalin di jahit, akak pun di masukkan ke dalam wad.

Malam itu akak dapat bersama-sama baby dan setelah diperiksa kesihatan baby pada pagi esuknya kami terus dapat pulang kerumah.
Sambutan di rumah pula sungguh mengharukan. Kelihatan Kak Zom, Mak cik Tom, Pakcik Talib, Bibik Azai, Ngah Bik , Mak Uda dan Izi dah menanti di rumah hendak melihat baby.

Syukur Alhamdulillah. Inilah pertama kali pengalaman akak bersalinkan anak secara normal dan hanya inilah anak yang dilahirkan secara normal. Merasalah akak kedua-kedua kelahiran baby secara normal dan pembedahan. Rasanya secara pembedahan lagi mudah untuk menjaganya semasa dalam pantang.

Baby itu kami namakan Siti Fatimah Azzahrah - nama bunga dan yang tidak menyusu lagi. Sempena nama anak nabi, Fatimah nama neneknya dan Zahrah adalah nama moyangnya.

Friday, August 7, 2009

Anak Kedua.




Add ImageInilah anak kedua akak. Kelahirannya pun punya sejarah yang cukup menarik.

Sehari sebelum kelahirannya, rumah akak dimasuki pencuri. tetapi pencuri itu tidak dapat masuk kerana pembantu rumah akak terjaga. Apabila kami dikejutkan oleh pembantu rumah tersebut pada pukul 3pagi, dan pembantu tersebut mengatakan ada pencuri tanpa menjelaskan pencuri itu hanya diluar rumah, akak dan suami amat takut sekali. Kami terus memanggil polis dan menunggu sehingga polis sampai. Kami menyangkakan pembantu rumah kami sedang diugut oleh pencuri supaya membangunkan di luar pintu bilik kami.

Setelah polis tiba, akak dan suami pun keluar dari bilik untuk melihat keadaan dan menceritakan kepada polis kejadian tersebut. Rupa-rupanya, pencuri tersebut hanya berada diluar bilik pembantu rumah di bahagian dapur dan olehkerana ingin mendapat reaksi dari pembantu rumah kami, pencuri tersebut telah membuka kepala paip yang betul-betul berada di laur tingkap bilik pembantu. Tujuannya bila pembantu akak mendengar bunyi air, tentunya pembantu akak akan keluar dan membuka pintu dapur dan keluar untuk menutup paip. Tapi Alhamdulillah, rancangan pencuri itu tak berjaya.

Keesokan harinya semasa pemeriksaan kesihatan mingguan yang akak lakukan, Dr Habibah, Pakar Perbidanan, Hospital Pusrawi mendapati darahtinggi akak meningkat. Akak terpaksa di masukkan ke dalam wad.

Pada pagi esoknya, Dr Habibah membuat pemeriksaan berapa bukaan untuk menentukan bila baby boleh dilahirkan. Melihatkan bukaannya 5cm, Dr Habibah pun mengarahkan letak pil induce dan CTG pun di pasang pada perut akak.

Setelah menunggu dalam 2 jam, jururawat yang merawat akak mendapati baby sudah kelemasan. Dengan segera, akak di usung masuk kebilik persediaan pembedahan. Kali ini akak berpeluang mendapat doktor perempuan iaitu Dr Habibah dan pakar biusnya adalah kawan baik akak di Mekah iaitu Dr Aini.

Ini adalah pengalaman akak yang pertama melahirkan anak secara pembedahan. Tetapi Dr Aini, sebagai kawan baik banyak memberikan nasihat dan dimasa yang sama suami akak pun tiba dari HUKM. Suami akak turut menasihatkan akak dengan mengatakan telah 9 bulan akak mengandungkan baby tersebut, takkan sanggup kalau terjadi apa-apa.

Akak pun bersetuju, lalu akak pun di bawa masuk ke Dewan Bedah. Setelah di beri epidural oleh Dr Aini, akak pun dibedah. Kami pun berbual-bual mengenai pokok-pokok durian yang ditanam di kebun Dr Aini. Kemudian Dr Habibah berjaya mengeluarkan baby dan menunjukkan kepada akak. Ya Allah...hitamnya anakku. Rupanya semasa baby akak lemas, dia telah meminum air dalam ketuban dan syukur Alhamdulillah beliau dapat cepat dikeluarkan.

Dr Aini segera membawa baby keluar dari dewan bedah dan berusaha untuk mengeluarkan segala air ketuban yang telah diminum oleh baby akak. Suami akak yang menyedari hal tersebut turut bersama-sama dengan Dr Aini berusaha menyelamatkan anak akak yang lemas itu. Setelah berjaya mengeluarkan air ketuban dari mulut anak akak, anak akak pun berwarna seperti sediakala.

Tuhan juga punya kuasa. Jikalah tidak kerana akak ditahan di wad, tentunya semasa kejadian anak akak lemas tidak akak sedari.

Kuasa Allah juga yang menentukan. Syukur kepadamu.

Nak ditambahkan cerita, tarikh kelahiran anak ialah pada 3hb Ogos 1996. Tarikh tersebut adalah tarikh dimana seluruh Malaysia bergelap kerana ada pencawang letrik yang meletup.

Baby bertuah tersebut di namakan Mar'Iyatul Qibtiah - Yang Terpelihara dan yang terkawal. Nama isteri nabi dan juga nama mak akak. Qibtiah.

Anak ketiga















Inilah adalah anak ketiga akak. Kelahirannya pun mempunyai cerita yang menarik untuk di kongsi.

Anak akak ni, sepatutnya di sambut oleh pakar perbidanan perempuan. Tetapi, pada pagi pembedahan, pakar perempuan tersebut tidak dapat bertugas kerana kepulangannya dari Kota Bharu dengan menaiki pesawat telah terganggu. Beg pakaian beliau telah dihantar ke pesawat lain.

Olehkerana masih terdapat pakar lain yang bertugas, maka untuk melakukan pembedahan tersebut, pakar tersebut telah menggantikan pakar perempuan tadi. Pakar ini namanya Dr Tham dan beliau adalah seorang pakar lelaki. Memang perancangannya kami memilih doktor perempuan tetapi dah ditakdirkan pakar lelaki yang akan membedah akak.

Pakar biusnya pun pakar lelaki. Lembut orangnya dan rajin menerangkan apa yang berlaku.
Sebaik pisau menoreh perut akak, (boleh rasa tapi tak sakit), Dr Tham pun cuba mengeluarkan baby. Akak dapat merasakan setiap pergerakan tangan semasa beliau keluarkan baby. Akak terasa sangat penat. terasa tangannya cuba mengorek-gorek baby keluar. Serasa macam kita keluarkan perut ikan. Uhhh.... Dalam dewan bedah, bising sungguh mulut akak. Dr Zainal, pakar bius cuba menenangkan. Sakit tu, taklah rasa tapi semasa Dr Tham cuba keluarkan baby, terasa sangat.

Selesai pembedahan., baby di bersihkan dan di iqamatkan oleh suami akak. Sebelum pembedahan suami akak di pelawa turut sama menyertai, tetapi suami akak tak sampai hati nak melihat pembedahan tersebut.

Setelah selesai semuanya, akak berpeluang melihat baby dan terkejut akak rupanya macam anak cina. teringat akak rupanya macam kawan cina akak yang selalu berbual-bual kalau jumpa di kedai. Tembam, sepet dan chubby...

Apapun Alhamdulillah. Segalanya selamat.

Kami namakan baby itu QURRATA AIN -Penyejuk Mata.

Anak Bungsu
















Kali ini akak ingin bercerita mengenai anak bungsu akak. Dia dilahirkan pada 30hb Jun 2005.

Sepatutnya dia dijangkakan keluar menurut perancangannya ialah pada 1hb Julai 2005. Akak biasalah.... suka pada nombor yang cantik-cantik. Julai - 7 dan 2005=2+5=7.

Tapi, kita merancang, Allah yang menentukan. Sepatutnya akak kena masuk wad pada 30hb Jun 2005. Akak dan suami benar-benar mengambil sambil lewa semasa diarahkan masuk ke wad pada awal pagi. Kami keluar rumah tengahari, pergi lunch di Mc Donald dan dalam pukul 2 petang, baru masuk wad.

Pukul 3 petang, doktor mengarahkan nurse buat CTG. Setelah nurse mendapati baby tak aktif, nurse memanggil doktor pakar yang kebetulan sedang buat round. Doktor yang melihat keputusan CTG terus mengarahkan akak untuk di ceaserean. Terkejut betul akak dibuatnya. Akak terus meminta dia bincang dengan suami dan suami memberi persetujuan untuk pembedahan.

Akak dipersiapkan untuk pembedahan dan terus di sorong kedalam bilik pembedahan.
Setelah pakar bius memberikan epidural, pakar perbidanan iaitu Dr Karen, memulakan pembedahan.

Olehkerana ini pembedahan ketiga buat akak, akak dah jangka dan Alhamdulillah semuanya selamat.

Baby dapat dikeluarkan dan sebelum dibersihkan, dapatlah akak menatap wajahnya. Putih seluruh badannya dan tembam betul pipinya.

Setelah baby dibersihkan, suami akak mengkamatkan baby dan baby dihantar ke nursery.
Alhamdulillah. Segalanya berjalan dengan lancar dan selamat.
Kami namakan baby tersebut AISYAH SAKINAH - Kebahagiaan dan ketenangan.













Sayangilah jantung kita-Angiogram














Kali ini ingin akak berkongsi maklumat dengan pembaca.


Sementara badan sedang sihat, belum dikunjungi oleh 3 sahabat baik, iaitu sakit kencing manis, darah tinggi dan jantung, marilah kita mengamalkan pemakanan yang sihat.

Jika sering melakukan pemeriksaan kesihatan,
kita dapat memantau tahap kesihatan kita dan bolehlah kita mengambil langkah berjaga-jaga.
Jika telah di dapati mendapat penyakit darah tinggi, maka ikutlah nasihat doktor. Janganlah terpedaya dengan kata-kata teman yang ada antaranya menasihatkan kita kalau dah mula makan ubat untuk darah tinggi, kita akan kena makan sampai mati. Tapi, fikirkanlah akibatnya. Tanpa rawatan yang betul, kita mungkin boleh kena strok dan sakit jantung.

Gambar di atas, adalah menunjukkan para doktor jantung sedang membuat prosedur 'angioplasty'. Ianya adalah satu cara untuk memasukkan 'ballon' ataupun 'spring' dalam usahan membuka saluran darah yang tersumbat. Kos bagi membuat rawatan ini kalau di Hospital swasta sekitar rm15,000 - rm30,000.

Kemudahan tersebut terdapat di hospital-hospital kerajaan seperti di Hospital Serdang, Hospital Pulau Pinang, Hospital Sultanah Aminah, Johor Bharu dan Hospital Kuching, Serawak.

Kurangkan memakan makanan yang tinggi kolestrol dan jangan merokok. Sayangilah diri Anda.

Ireland





Suami akak berpeluang ke Ireland. Dalam banyak-banyak gambar yang diambil, akak cukup berkenan gambar ini.
Selalu kita dapat menyaksikan gambar ini dalam movie....
Insya'Allah, bila akak sihat nanti, dah kumpul duit untuk bayaran dialysis.. akak akan kesana.

Thursday, August 6, 2009

Kg Sungai Sekah, Nilai, Ng Sembilan.

Lebihkurang beginilah rupa sungai di Kg Sungai Sekah, pada tahun 70an.


Bila tiba ada kenduri kendara ataupun Hari Raya, emak dan akak sering berkunjung ke Kg Sg Sekah, Nilai, Negeri Sembilan. Emak mempunyai seorang sepupu yang amat rapat dengannya. Keluarga beliau menetap di sana dan arwah suami sepupu emak adalah seorang ketua kampung di Kg Sg Sekah.

Untuk kesana kami 2 beranak akan memulakan perjalanan pada awal-awal pagi. Kami dah bersiap selepas solat subuh dan menuju ke Hentian Bas Pudu Raya. Menanti bas untuk ke destinasi yang boleh dikatakan paling jauh pada masa itu, agak memenatkan. Jika bernasib baik, bas belum berlepas, cepatlah kami boleh memulakan perjalanan. Tetapi kekadang tu, bas baru terlepas, maka terpaksalah menunggu lagi satu jam untuk dapat menaiki bas.

Seingat akaklah, perjalanan bas ke Seremban mengikut jalan lama melalui Kajang, Mantin, Beranang dan terus ke Seremban mengambil masa 3,4jam. Bas akan berhenti mengambil penumpang di Hentian Bas Kajang. Menunggu lah lagi.

Sesampainya bas tersebut di Hentian bas Seremban, kami pun turun dan menanti bas yang tertera pada kepala bas iaitu Kg Sg Sekah. Seperti tadi situasinya jika dah terlepas, puaslah pulak menunggu bas yang seterusnya.

Perjalanan ke Kg Sg Sekah melalui Kg. Labu dan terus ke Nilai. Setibanya di sana, hati akak mula berasa sangat seronok. Nak tau apa yang buatkan akak merasa begitu.
1. Nak jumpa ayah angkat ku yang dipanggil Ayah Chik.
2.Ayah Chik ada basikal. Puaslah akak boleh meronda satu Kg Sg Sekah.
3.Belakang rumah Ayah Chik ada sebatang sungai yang airnya sangat jernih hingga ternampak anak-anak ikan dan ikan keli berenang-renang. Untuk mandi, memang terasa sangat nyaman. Suasana sungai itu redup dengan pepohon getah yang banyak, mengindahkan lagi suasana tempat itu.
Sebab itulah walaupun payah untuk sampai ke Kg Sg Sekah, akak tetap seronok dan suka bila mengikut emak kesana. Berbaloi, segala penat tersebut.

Isteri Ayah Chik yang bernama makcik Chap, memang pandai memasak. Apalagi, setelah penat menempuh perjalanan yang jauh dan asap kenderaan, disajikan pula lauk yang enak, lepas tu pergi ke sungai untuk mandi dan menangkap ikan, rasanya memang berbaloi.

Tapi, nak ceritanya, bila akak mula berusia belasan tahun, sungai tersebut sudah tercemar dengan najis khinzir dan tanah-tanah merah. Sungai tersebut kemudiannya tidak lagi jernih dan keruh saja airnya. Kebetulan pula Ayah Chik pun meninggal dunia dan makcik Chap meninggalkan rumah tersebut dan tinggal bersama anaknya di Selayang Baru. Sejak itu kami jarang ke sana.

Perkhidmatan Bas tahun 70an.

Pemandangan Hentian Pudu Raya waktu malam.


Marilah pula akak bercerita mengenai perkhidmatan bas semasa tahun 70an. Bas yang paling terkenal masa itu adalah Bas Sri Jaya. Basnya berwarna biru. Awalnya untuk menentukan destinasi bas tersebut, mereka meletakkan sekeping kayu yang tertulis nombor bas dan destinasinya. Bila agak maju sedikit, mereka menggunakan relungan kain yang boleh dipusing-pusingkan dalam menukar haluan destinasi bas.

Bas bernombor 237, yang berpengkalan di hadapan Keramat Supermarket, Chow Kit Road, akan membawa penumpang ke Kg Datuk Keramat. Bas tersebut menambahkan jarak hingga ke Kg Datuk Keramat berhampiran Taman Permata dan Taman Lembah Keramat dalam tahun 80an. JIka sebelumnya bas tersebut hanya akan menurunkan penumpang sehingga Kilang Texas Instrument dan Kilang Harris.

Bas bernombor 8, yang berpengkalan dari Perhentian Bas Kelang akan mebawa penumpang sehingga ke Kg Datuk Keramat. Bas tersebut akan berhenti di hadapan Pasar Kg Datuk Keramat dan membawa semula penumpang hingga ke Perhentian Bas Kelang.

Bas bernombor 6, akan mengambil jalan Semarak untuk ke Jalan Gurney. Tempat terakhir bas tersebut berhenti adalah di hadapan Masjid Tentera di Jalan Gurney.
Kesemua bas tersebut akan melalui di hadapan rumah akak. Agak memudahkan bagi kami yang ingin kemana-mana.

Tambang bas pula, pada awalnya seingat akak dari Pasar Chow Kit Road ke rumah akak adalah 5sen. Kemudian, dinaikkan 10sen. Untuk ke Perhentian Bas Kelang dari rumah akak ialah 30sen.

Nak dijadikan cerita, kekadang tu memang angin dengan perkhidmatan bas ini. Sejak mereka menggunakan pusingan kain yang mudah untuk menukar destinasi, pernah terjadi, penumpang dah beratur dan menaiki bas tersebut, dah dapat tempat duduk lagi, aleh-aleh datang kondukter bas, dipusingkannya nama destinasi bas tersebut maka bergegaslah semua penumpang kena turun. Kalau bernasib baik, adalah bas yang digunakan sebagai ganti, jika tidak...berdirilah lagi di tepi Keramat Supermarket itu sambil menunggu bas ganti.

Lepas tu dalam pertengahan tahun 70an, perkhidmatan bas mini diperkenalkan. Bayarannya jauh atau dekat tetap 40sen. Yang nak dijadikan ceritanya, sikap kondukter bas tersebut. Bas tersebut mempunyai 2 saiz. Kedua-duanya seperti bas sekolah anak-anak kita sekarang.

Memang itupun basnya. Jumlah penumpang memanglah agak terhad tapi sikap mereka yang ingin mendapatkan untung, memaksa penumpang berhimpit-himpit. Setiapkali pemandu bas mini berhenti di perhentian bas, maka kondukter akan menjerit," Masuk dalam lagi...masuk dalam lagi". Kalau diikutkan penumpang dah berhimpit macam ikan sadin, kondukter masih mengambil penumpang dan teruskan menjerit 'Masuk dalam lagi'. Teringat akak pernah ada seorang penumpang menjerit menjawap balik katanya, ' Oiii...dah sampai dapur ni, nak masuk kemana lagi?????'

Kali ini akak nak bawa pembaca ke Jalan Ampang. Dahulunya sebelum adanya Bangunan Bank Bumiputra dan Bank Standard Chartered di Jalan Ampang, tempat tersebut adalah Hentian Bas bagi pengguna yang ingin pergi arah ke Seremban, Kajang, Mantin dan juga menuju destinasi seperti Selayang Baru, Kg Sg Tua, Rawang.

Kemudian sebelum Pudu Raya dibina, tempat menunggu bas ke destinasi seperti Seremban adalah di hadapan Pudu Raya sekarang ni, iaitu Jalan Pudu. Bila Pudu Raya di bina, maka penumpang pun dapatlah menunggu dengan selesanya di dalam hentian yang mempunyai bangku-bangku untuk duduk sementara menanti bas. Emak dan akak sering mengambil bas dari situ ke Seremban, turun di Hentian Bas Seremban dan ambil bas ke Kg Sungai Sekah, Nilai, Ng Sembilan. Masa perjalanan yang di ambil hampir sehari. Kami selalu ke sana kerana emak mempunyai sepupu yang tinggal di sana. Kunjungan sempena kenduri kawin ataupun Hari Raya memang menjadi alasan untuk kami berjalan 2 beranak sejauh itu.

Tapi sekarang semuanya adalah kenangan manis untuk dikenang. Akak dan ramai lagi teman-teman akak diluar sana sudah tidak menggunakan perkhidmatan bas kerana masing-masing sudah mempunyai kenderaan sendiri. Anak-anak zaman sekarang pun dah manja. Kemana-mana dibawa oleh ibubapa mereka ataupun bagi yang terlebih rezeki, menggunakan pemandu....Tapi Syukurlah, kerana anak-anak kita berada dalam jagaan kita untuk kemana-mana. Tidaklah kita ragu-ragu lagi mengenai keselamatan mereka berbanding jika kita lepaskan mereka menaiki bas sendirian.

Hamster nak makan...