Thursday, August 6, 2009

Kenangan semasa kecil-kecil 9.

Kedudukan kampong melayu ialah di telekom tower. Dahulunya jalan pantai baru.

Sebelum ada bangunan tinggi depan UM, sebelah Telekom Tower, disini terdapat kampong melayu.

Bila terkenangkan semasa waktu kecil dahulu, terasa diri tak akan besar-besar. Nak besar macam umur 20tahun tu, beratus tahun lagi. Lama sangat lagi nak berumur 20tahun dan bekerja. Tapi bila dah mula masuk umur 20 tahun, bagai ditiup-tiup umur tu akan meningkat dengan lajunya. Sedar-sedar umur dah 45 tahun. Dah terasa tua. Jadinya, sebelum akak ni menjadi semakin tua dan dah tak dapat mengingatkan lagi cerita-cerita lama, izinkan akak ceritakan mengenai insan-insan yang pernah akak kenali semasa akak kecil dahulu.

Mereka sering datang bertandang ke rumah kami dan adakalanya tinggal bersama kami hingga berhari-hari. Ada seorang makcik tu, kami panggil Makji Munah datang dari Sungei Way, Petaling Jaya. Pada tahun 70an pengangkutan bas agak terhad dan jarak daripada Sungai Way kerumah kami di Kg Baru, terasa jauh sangat. Kena bertukar bas sehingga 2 atau 3kali barulah sampai destinasi.

Nak ceritanya, makji Munah ni, memang pandai menghibur. Hari pertama beliau datang, beliau siap membawa bekalan nasi dan lauknya. Sebaik sampai beliau akan membuka bekalan makanannya dan mempelawa kami makan bersama beliau. Kebetulan kami baru selesai menjamu selera dengan hidangan tengahari, tentunya kekenyangan. Maka makji Munah akan berkata,' Alah, kalaupun dah penuh satu peti, takkan sehelai sapu tangan tak boleh nak masuk...". Terkenang sangat akan kata-kata beliau itu. Beliau benar-benar ingin kami turut merasai lauknya itu. Kadang-kadang tu, walaupun peti memang dah penuh, bukan setakat sehelai sapu tangan....baju sejuk pun masih boleh akak sumbatkan lagi.

Begitulah orang dulu-dulu, penuh dengan peribahasa lama yang indah bunyinya.

Seorang lagi tetamu yang sering berkunjung ke rumah kami adalah seorang bekas guru besar. Nama beliau adalah cikgu Jajuli. Orangnya kurus tinggi dan sehingga kini akak tak pernah ingat siapa isterinya. Jika beliau kerumah kami, memang berseorangan saja. Pernah lah sekali dia bawa anak lelakinya, serupa dengan beliau juga.

Cikgu Jajuli ni, orangnya suka bercerita. Makcik dan emak akan terpukaulah dengan cerita-ceritanya. Kadang-kadang beliau menulis sambil bercerita. Jari-jarinya yang panjang kelihatan membengkok memegang pena, tulisannya memang cantik. Bila akak ada masalah pelajaran di sekolah, cikgu Jajuli inilah yang akan membantu. Boleh dikatakan beliau memang ada bau-bau bacang dengan emak dan boleh dikatakan hampir setiap minggu beliau akan berkunjung kerumah kami. Rasanya betullah anggapan akak yang cikgu Jajuli ni bujang, sebab mudah sangat dia datang kerumah kami. Bila waktu petang, beliau akan pulang. Selang sehari, timbul lagi beliau. Sehinggalah ada suatu ketika tu, lama kami tidak dikunjungi oleh beliau dan emak mendapat berita bahawa cikgu Jajuli telahpun meninggal dunia di Sabak Bernam, dirumah salah seorang anaknya.

Seorang lagi saudara yang kerap singgah di rumah kami ialah Pakcik Zamani. Beliau mempunyai keluarga dan tinggal di Kg. Kongo, Bandar Tun Razak, Cheras. Beliau akan menunggang basikal dari rumah beliau sehingga kerumah kami. Kalau diikutkan memang jauh jaraknya, tapi begitulah beliau selama-lamanya. Basikal beliaulah yang akak akak pinjam dan bermain dengan sepuas-puasnya sehinggalah emak membelikan akak basikal Raleigh tiada palang dengan harga RM180.00 semasa akak berada di dalam tingkatan dua.
Sebelum mempunyai basikal sendiri, memang basikal pakcik Zamanilah yang akan menjadi seperti basikal akak. Kedatangan beliau hampir setiap hari, memudahkan akak menggunakan basikal beliau.

Pakcik Suri pulak, akan berkunjung kerumah kami sekali-sekala. Tapi bila beliau datang, juga meriah rasanya. Beliau kabarnya seorang ustaz dan sering bercerita hal-hal berkaitan agama kepada emak dan makcik. Beliau, seingat akak tinggal di Kg Kerinchi, Bangsar.

Makcik Som dan Pakcik Yaakob diberi nama. Si isteri mula mengenali mak semasa mereka sama-sama pergi belajar agama di Kg Pantai Baru, Bangsar (Sekarang berhadapan dengan Masjid Universiti Malaysia). Dahulunya ada perkampungan melayu dan mempunyai surau yangmana emak dan makcik Som sering berkunjung setiap pagi sabtu. Agaknya kemesraan mereka hingga terbawa-bawa menjadi kawan baik dan saling kunjung mengunjung rumah masing-masing. Mulalah kami mengenali anak-anak mereka. Anak makcik Som pernah menjadi penyanyi semasa tahun 70an.

Pakcik Yaakob pernah bekerja sebagai penjaga di Istana Negara. Makcik Som pula pernah bekerja sebagai tukang kemas di Istana Negara. Mereka pernah tinggal di kuarters Istana Negara dan adakalanya akak dan emak sering berkunjung kesana.

Sengaja akak ceritakan tentang kawan-kawan arwah mak dahulu-dahulu. Manalah tahu ada antara pembaca yang mengenali mereka ataupun bersaudara dengan mereka, bolehlah kita memanjangkan silaturrahim. Insya'Allah.

No comments:

Post a Comment

Sila beri komen anda.

Hamster nak makan...