Wednesday, September 30, 2009

Dong Yi Shun

Mulanya happy nampak ada lampu terbuka


Bila nampak perkakas tersusun diluar.... dapat agak dah... tipah tertipu....



Inilah nama restoren yang menyediakan sajian makanan halal 'chinese muslim' yang pernah beroperasi di The Summit, USJ Subang Jaya.

Sebaik saja akak terbaca mengenainya dalam blog aint-super-woman, akak pun mengajak suami akak untuk pergi mencuba. Kami memang meminati makanan chinese muslim. Melihatkan gambar makanan yang dipaparkan diblog tersebut, memang menyelerakan.

Selepas solat maghrib, kami pun bergegas ke sana. Melalui Kesas Highway, kamipun tiba dihadapan The Summit. Dari parking kereta dah nampak nama 'Dong Yi Shun'. Leganya, mudah parking dan restorennya pun berdekatan dengan parking. Melihatkan kerusi diletakkan di atas meja, akak merasa cuak. Sebaik kaki menghampiri restoren tersebut, kelihatan barang-barang dapur sudah berada diluar premis.

" Hmmm..... memang sahlah dah bungkus restoren ini...." Getus hati akak.

Suami akak terlihat beberapa orang pekerja sedang mengemas-gemas di dalam restoren terbabit. Ditanyanya pada seorang pekerja.

" You're closed ?...."

" Yes.... we're moving to Kota Damansara " Jawap lelaki tersebut dalam pelat Inggeris. Tangannya menghulurkam sekeping kad alamat baru restoren tersebut.

" Hmmmm.... tipah tertepi lagi......" Keluh akak.

Memang kami dah pernah terkena begini dahulu. Ekoran dari menonton Jalan-jalan cari makan, kami pun terus pergi ke premis restoren tersebut di Alamanda tapi malangnya restoren tersebut telahpun tutup walhalnya baru semalam kami menonton Jalan-jalan cari makan.


Tetamu MHI


Pagi tadi suami akak menjadi tetamu MHI. Slot yang diberikan adalah selama 15 minit. Tapi penyediaannya lagi lama. Asalnya, suami akak diminta sediakan soalan dan jawapan untuk pengacara MHI tapi, mungkin kerana kesuntukan masa soalan-soalan itu tidak digunakan.

Untuk berada sebelum pukul 7 pagi di Sri Pentas, suami akak kena keluar awal dari rumah.

Semasa siaran, ramai teman dan saudara mara yang mengenali menghubungi dan menghantar sms. Glamer....

Tuesday, September 29, 2009

Tetamu.


















Sambutan Hari Raya tahun ini memang meriah berbanding tahun lepas. Dengan keadaan kesihatan yang masih bergantung dengan ubat, rasanya tahun lepas, akak macam tak beraya. Bila tahun ini, barulah terasa beraya dengan berjalan bersama-sama adik beradik dan teman, saudara mara dan adik beradik berkunjung kerumah.

Hari ini semasa Ella menghantar Zahrah dan Ain pulang, akak mempelawa Ella dan anak-anaknya singgah sebentar untuk berhariraya. Alhamdulillah, tanpa dirancang... Ella setuju untuk beraya dengan akak.

Sebaik selesai menalipon Ella tadi, akak bergegas di dapur memasak juadah untuk dihidangkan pada Ella dan anak-anaknya. Dengan bantuan bibik, akak segera membuat sambal sotong, sambal kacang dan masak lodeh. Alhamdulillah, sebaik Ella tiba, hanya masak lodeh belum masak.

Selesai masak lodeh, makanan sudah terhidang bersama-sama nasi impit segera.

Ella adalah teman yang pertama sekali akak kenali sebaik kami berpindah di Quartes Hospital Serdang. Akak mengenalinya semasa 4 tahun lepas sewaktu kami sama-sama menanti anak di depan sekolah. Sikapnya yang ramah menjadikan akak senang berbual dengannya. Kami menjadi rapat kerana dalam masa yang sama Ella boleh menjahit baju kurung setiapkali raya.
Memang akak kenang iaitu semasa akak belum mempunyai teman, dialah teman akak yang pertama sewaktu akak baru pindah dari Pulau Pinang ke Selangor.

Beraya.


















































Petang semalam dapat sms dari adik perempuan akak bagitau nak datang beraya di rumah. Ikut sms nya hanya dia sekeluarga dan emak dan adik bungsu kami, Elan. Okaylah.... tapi akak masih leka membaca blog kisah Kak Nong sejak tahun 2004. Bila baca tentang kehilangan anak bungsu kesayangan, akak tumpanglah sedih.. paling sedih bila baca surat anak daranya. Kadang-kadang, kita sebagai ibu... boleh tak perasan semua itu kan...

Sedang leka membaca, teringat pula nak hidangkan apa pula pada tetamu malam ni. Ingat nak goreng mee/mee hoon. Ala... biasa lah pulak.

Tiba-tiba dapat idea... ikan kembong ada... timun ada...

Turun bawah, tanya bibik... katanya cili kering pulak habis.

Sms kat suami, minta singgah kedai belikan daun kesom, cili kering, bunga kantan dan santan kelapa.

Tunggu punya tunggu, dia tak balas pun. Nampaknya lepas asar, memang kena pergi kedai. Malasnya.

Call suami... rupanya sedang meeting. OOOppppsss... shori.... Katanya, okay balik nanti dia singgah kedai amir cum kelantan cum perak.

Mulanya masa baru pindah, ingatkan isteri tokey kedai tu orang kelantan sebab putih... dah lama pergi tanya kampong dia kat mana.... katanya perak. Daripada kedai kelantan jadi kedai perak. Tapi baru-baru ni, barulah teringat nak pandang nama kedai yang terpampang atas atap kedai, namanya kedai Amir. Andeh..lah andeh...
Selama ari ni, taklah memandang-mandang nama kedai.

Lega rasa tak payah ke kedai. Dapat baca kisah seterusnya... sambung baca sampai pukul 530petang. Kak Nong memang pandai bercerita, payah nak berhenti.

Turun, rebus laksa. Buat lauk masak lemak ikan senangin dengan mangga muda. Yum..yum..

Suami balik, siapkan bahan untuk buat kuah laksa. Campak-campak aje dalam periuk, tutup api... naik atas sambung baca kisah kak nong.

Lepas solat maghrib, suami dah suruh siap turun untuk menyambut mak dan adik.

Dekat Isyak, depa sampai. Katanya ada satu kereta lagi iaitu kak Yah dan abang Din kakak akak.

Rasanya okaylah tu, laksa tu cukup kot... (fikir dalam hati).

Sesampai aje kak yah, katanya anak lelaki sulongnya yang baru mendirikan rumahtangga ogos lalu pun nak singgah beraya.

Tak pa lah. Kita makan dulu.

Semuanya dapat semangkok sorang.

Tanya bibik, ada lagi ke laksa tu?.. tak de...

Tak puas hati sebab dalam list beli barang, akak ada tulis beli 2 bungkus laksa.

Buka laci, ada. Memang patut kena sebijik bibik ni. Tapi, sabar aje.

Rebus lagi laksa.

Semua yang makan laksa, terkujat sebab mee dia dah habis, kuah masih ada.

Minta along dan isteri yang baru sampai, bersabar... mee baru rebus.

Borak-borak adik beradik dan emak. Memang best usik mengusik.

Mee masak tapi tak begitu lembut macam mula-mula tadi.

Hidangkan. Alhamdulillah ada juga makanan nak di hidang. Inilah berkat baca blog. Macam-macam idea dapat untuk masak apa untuk tetamu.

Monday, September 28, 2009

Beraya di pantai morib.





Hari ni, kami berkumpul adik beradik belah suami akak di rumah adik ipar di Bukit Rimau. Kenyang sungguh kami dijamu tengahari tadi. Ada nasi beriani, kurma ayam, jelantah (acar timun), nasi impit, kuah kacang, kuah lodeh, mee goreng dan sambal sotong. Hmmm.. semuanya menyelerakan. Makan sampai nak pecah perut....

Singgah sebentar di pekan banting. Memang routine turun temurun keluarga suami akak, tiapkali pulang ke banting mesti singgah pekena cendol. Sedappp.... Dulunya, cuma gerai kereta sorong aje, sekarang dah buka kedai tetap...

Dah kenyang perut, kami adik beradik pakat nak pergi ziarah kubur wan dan atuk di kelanang. Kemudian, untuk budak-budak yang akan naik sekolah semula esok..... kami berkelah di pantai kelanang, morib.

Malam, sebelum pulang, singgah makan malam adik beradik di gerai tomyam dekat kanchong darat. Tak sangka, sedap pulak. Luluslah piawaian kami adik beradik.

Akak minum air tak sedar diri. Aiss..... mana boleh sikit-sikit. Dalam perjalanan pulang, berdoa aje dalam hati agar tak ada apa-apa. Alhamdulillah lah, sampai pagi isnin, masih sempat lagi pergi hospital naik kereta bukan ambulan. Syukur Alhamdulillah.

Budak-budak cukup seronok....

Saturday, September 26, 2009

Kereta Baru 2.

















































Adik Ipar perlu menukar Toyota Estimanya untuk memuatkan 6 orang anak bujang dan seorang pembantu rumah. (Pembantu rumah kedua - otw). Jumlah penumpang ialah 10 orang. Untuk itu kereta yang paling sesuai bagi memenuhi keperluan mereka ialah......

jeng..jeng....



bukan bas......



bukan RV.....



Mercedes Vito Grand.

OOOOOOOOOOOOO............................ HEEEEE BBBBATTTTTT.



Friday, September 25, 2009

Kereta Baru 1.

He........batttttt...

Inilah reaksi suamiku apabila melihat kereta baru abahnya. Abah memang suka kereta toyota camry. Kereta yang sebelum ini pun kereta camry warna hijau. Kereta itupun masih digunakannya dan tiada merancang untuk dijual.

Pernah teman sepengajiannya jadi keliru melihatkan kereta baru ni.

Teman: " Kenapa tukar kaler kereta? Yang hijau dulu kan cantik?....".

Memang ada orang takkan percaya ada orang sanggup memiliki 2 kereta jenama sama walaupun modelnya berbeza.

Sahabat sesama kecil dulu....

Inilah gambar sahabat yang bersama-sama akak sewaktu kecil dahulu. Kami semuanya sebaya.

Yang bertudung kuning adalah seorang isteri kepada anggota polis. Sudahpun menerima menantu baru-baru ni. Mempunyai 5 orang anak. Yang bungsu berusia 7 tahun.

Dan yang bertudung merah jambu pula, isteri kepada seorang guru. Anak sulungnya baru di tahun dua, di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Mempunyai 6 orang anak. Yang bungsu berusia 7 tahun.

Dan akak, anak sulung baru berusia 15 tahun. Yang bungsu 4 tahun.

Banyaknya beza kan....

Wednesday, September 23, 2009

Rumah ke Muzium ke Hotel?








Sewaktu kami sekeluarga beraya di Parit Jawa tempohari, kami juga mengambil kesempatan menziarahi seorang lagi ibu saudara kepada ayah mertua akak.

Sebaik memasuki perkarangan rumah 'nek andak' kami sungguh terpegun melihat keindahan dan kecantikan rumah baru nek andak. Tersergam gagah kerana bumbung dibuat 3 tingkat dan atapnya tinggi umpama muzium. Pintunya lebar dan besar dari saiz biasa. Lantainya menggunakan kemasan lantai kayu yang amat bermutu tinggi. Pationya sekeliling rumah menggunakan kemasan kayu.

Sedarlah kami bahawa telah lama juga kami tidak menziarahi beliau sehingga tak sedar rumah nek andak sudah bertukar baru dan cantik kerana menurut beliau telah 2 tahun rumah itu dibina.

Anak-anak kecil semuanya melompat kegirangan kerana menyangka kami akan bermalam di hotel. Hinggakan ada yang bertanya dimanakah bilik mereka. Dengan ruang tamu yang luas, mereka berlari-lari berkejaran sesama mereka seolah-olahnya berada di padang.

Untuk anak nek andak yang mencetuskan idea untuk membina/mereka design rumah tersebut,... rumah tersebut memang cantik dan menjadi idaman kami semua. Tahniah.


Tuesday, September 22, 2009

Layanan di kedai makan.

Semalam, kami sekeluarga yang terdiri dari 12 orang dewasa dan 15 kanak-kanak telah singgah di satu kedai makan di Parit Jawa. Hajatnya nak merasa mee bandung muar yang 'tersohor' tu. Terkejut juga kerana pada hari raya kedua, mereka telahpun mula berniaga.

Setelah mendapat tempat duduk, kami pun menanti untuk di layan. Agak lama juga menanti, barulah datang seorang pelayan yang mengambil order. Olehkerana orang pun memang ramai di kedai tersebut, maka kami membuat order yang ringkas difahami.

Atok : Bagi 20 pinggan mee bandung dan 20 minuman dalam botol.

Maka kami pun bersangka baik dan menunggu.

Selepas lebih satu jam menunggu, bayangan air pun tidak nampak lagi apalagi mee bandungnya. Kanak-kanak kecil mula menggelisah kehausan kerana tidak memahami mengapa untuk menghantar air yang mudah begitu mengambil masa yang begitu lama. Air yang di pesan adalah minuman dalam botol, jika masukkan saja ais dalam gelas kemudian hantar kepada pelanggan, memang mudah tapi kami perlu menunggu hampir 2 jam untuk mendapatkan segelas minuman.

Mee bandung yang ditunggu, akhirnya datang dalam berperingkat-peringkat. Dalam masa 20 minit, datanglah 2 pinggan mee dan 20 minit kemudian, datang 2 pinggan lagi.... Untuk menyediakan 20 pinggan mee rebus, mereka mengambil masa yang terlalu lama. Selepas habis makan, barulah air dihantar.

Memang menguji kesabaran jadinya. Apa yang kami perhatikan ialah proses penghantaran mee dan air tidak mengikut sistem. Pernah terjadi, tukang buat airnya tiada dan di bahagian membuat air ditinggalkan kosong tanpa pengganti dalam satu jangkawaktu yang lama.

Proses menyediakan mee juga menjadi terganggu kerana pelanggan yang membeli bungkus didahulukan. Pelanggan yang datang hendak makan kena menunggu sehingga begitu lama membuatkan keenakan mee bandung muar tersebut menjadi hambar kerana terpaksa menunggu dengan begitu lama.

Wahai tokey kedai yang tersohor, cubalah ubah cara layanan dan sistem dalam menyediakan mee bandung dan air untuk pelanggan. Potensi untuk menjadi salah sebuah restoren makanan yang bagus dan enak memang ada tetapi sistem layanan pelanggan perlu ada yangmana perkara yang paling utama ialah:

1. Pelanggan yang datang dahulu, di dahulukan.
2. Pekerja perlu cekap dan mencukupi
3. Masa menanti makanan dan minum tidak begitu lama
4. Pelayan sebaiknya mesra pelanggan. Bermanis muka dalam melayani pelanggan.

Jangan hanya kerana nama kedai dan ulasan dah terpampang di dada akhbar dan juga gambar-gambar bersama artis yang datang makan sudah dirasakan mencukupi untuk menjadi terkenal dan maju. Perkara yang disangka remeh temeh tidak dipedulikan.

Saturday, September 19, 2009

Esok Hari Raya.

Inilah cik Ros. Staff Nurse kami, kalau tak kenal.. ingatkan anak dara sunti... you....

Encik Faizal..... staff baru tukar kat Dialysis unit.

Puan Diana... Staff nurse senior di Dialysis... Dedikasi... Pesakit ramai yang sayang dengannya.

Poobalan.... bapa kepada seorang anak dara....

Pn Diana.. senior SN lesayangan semua...

Hari ini, akak kena dialysis lagi. Untuk tarik air saja.... Over load....
Lihatlah staff HDU memang sibuk sekali. Kawan baik akak pun datang untuk dialysis. Dia kena kerja start malam ni sehingga 6 hari kerja shift malam. Banyak-banyak kena sabar.

Buat SN Diana, SN Zuraida, SN Ros, MA Rofaizi, MA Badrul dan PPK Faizal Selamat bertugas semasa hari raya dan selamat menyambut hari raya. Terima kaseh kerana korbankan sambutan raya bersama family tercinta untuk membantu kami pesakit buah pinggang di unit dialysis.
Jasamu akan dikenang dan dihargai.

3 masakan.... Hebat berperang kat dapur.


Selesai dialysis hari ni, tidaklah begitu pening sangat kerana sebelum selesai 4 jam masa dialysis, SN dah berhentikan tarik air kerana selepas 3 jam dialysis dan tarik air dah dapat 2kg, akak terasa pitam pula. SN berhentikan proses tarik air dan biarkan mesin dialysis berjalan sehingga 4 jam. Pernah hari Rabu lalu, akak biarkan proses dialysis sehingga 4 jam dan tarik air 3.5 kg, badan akak tak boleh tahan. Pulang dengan berat 51 kg tetapi akak rasa telinga berdengung dan pitam kerana hyphoglecemia... (badan mengalami kekurangan air dan tekanan darah pun rendah).

Setelah selesai dialysis, akak pun pulang bersama suami dan anak sulung yang sama-sama mengikut akak ke dialysis. Bila ditanya apakah juadah berbuka yang mereka mahu, anak akak memang menyukai sambal sotong, meminta dibuatkan nasi lemak dan sambal sotong manakala suami akak selepas membeli sebatang lemang di seksyen 5, ingin membeli rendang yang disediakan oleh penjual tersebut. Tapi mengenangkan selalunya hampa sahaja rasa rendang yang siap dijual, akak pun terus menyatakan biarlah akak buatkan rendang dan kuah kacang.

Sebaik sampai di rumah, akak berehat sebentar dan selepas solat Asar, akak pun bersiap-siap untuk memulakan tugas memasak. Setelah bahan-bahan utama disediakan oleh bibik, maka kerja-kerja memasak pun menjadi mudah.

Untuk rendang, memang senang. Masukkan semua dalam kuali, then bila dah pekat sikt barulah masukkan ayam. Untuk masakan kuah kacangnya pun agak mudah. Masakkan cili dan masukkan bahan kisar dan kemudiannya masukkan santan dan kacang... tunggu lama atas dapur hingga pekat.

Tapi untuk sambal sotong memang agak payah sikit sebab sotongnya hanya direndam tengahari tadi dan petang ini masih keras. Maka, terpaksalah digunakan sodium bikarbonate untuk membantu melembutkan sotong. Phewwww..... untung juga boleh lembut. Kalau tidak mahu tanggal gigi menggigitnya nanti.

Nampaknya berbuka ni, memang sedap lah lauknya. Bayangkan Aisyah yang berusia 4 tahun dah bawa pinggan minta lagi ayam masak rendang. Memanglah begini selalunya...masakan yang kita buat cincai-cincai...boleh jadi sedap dan makanan yang setengah maut kita usahakan membuatnya, tak sedap. Nasib-nasib lah kalau sedap.


Thursday, September 17, 2009

Phew! Nyaris tak da lauk berbuka.

Dari pagi bawa ke petang, akak punyalah sedap dok baca blog orang. Best dibawa sama-sama lihat kehidupan di Kemaman, Perak (dengan pure loghat Perak), Kelantan dan drama pendek dengan loghat Kuala Lipis, Pahang. Memang terhibur. Mereka semuanya dah bertahun berblogging. Akak baru tahun ni pandai. Itupun dengan tunjuk ajar En Wan Ahmad Lutfi dan isterinya Puan Siti Zahrah.
Punyalah seronok membaca kisah member-member blogger, tiapkali suami akak balik surau lepas solat zohor, akak masih mengadap laptop.

Suami : " Dah solat zohor?...."
Akak : " Dah....."

Sukar juga suami akak nak percaya agaknya kerana sebelum dia ke surau, akak sedang baring atas katil dan kat depan laptop inilah akak dok pandang.
Lepas dia pulang dari solat Asar, sekali lagi dia tanya. Jawapannya pun sudah juga. Memang akak solat tapi sebaik habis solat, sambung baca blog.
Tengok jam dah pukul 5.45pm. Macamana, belum masak lagi.
Uurrghh.... dengan terpaksanya, akak shut down computer... Turun bawah kejap. Bagi arahan begitu begini....
Untung baik pula ada bibik kat dapur dah sempat menyediakan itu ini.

Lepas dia sediakan bahan masak.... akak pun mula masak.

Inilah hasilnya......... Masak lemak tempoyak dan udang galah. Sambal tumis udang. Voilla.!!!!

Sedapppppppp............

Wednesday, September 16, 2009

Besar Jasamu Yang.


Akak ingat nak beritahu secara bersemuka pada suami, tapi pernah akak cuba, tapi tak berjaya. Akak dah cuba ketika masih dalam wad Ogos lalu, tapi biasalah.... kita ni bukannya pandai ikut skrip. Dah siap skrip dah, tapi bila cakap, kerongkong tersekat-sekat.

Okay... pertama sekali orang (akak memang berbahasa gantinama-orang) berjanji pada Yang bahawa orang akan jaga disiplin air... Orang akan menjaga air sedaya yang mungkin. Walaupun air tersebut akan melompat masuk dalam mulut, orang akan cuba sekat.

Orang dah setahun dah dialysis. Orang dah 3 kali sesak nafas akibat lebih air. Tapi kejadian 1 pagi, 10 Ogos lalu benar-benar mengesankan apabila Yang bagitau, Yang sendiripun dah terasa nak sakit jantung kerana dalam kerjaya Yang sebagai seorang doktor, tanda-tanda yang orang alami pagi tu, memang menunjukkan tanda seperti orang yang sudah dekat nak mati. Dengan anak-anak yang masih kecil, sepatutnya... perjalanan untuk membesarkan anak-anak masih panjang lagi. Walaupun semuanya kerja Allah dan kita tak bolehlah make sure boleh hidup sehingga semua anak-anak dah kawin baru nyawa diambil, tapi buat diri orang.... langkah-langkah penjagaan itu perlu. Jangan sampai, paru-paru berendam dengan air dan jantung membengkak akibat lebihan air.

Orang sedar, setiapkali jadi masalah, walaupun mudah dapatkan rawatan yang terbaik dari doktor-doktor pakar dan petugas-petugas kesihatan tak kira pukul berapa pun....orang kena bertimbangrasa juga... Kena jaga disiplin air maka taklah sampai masuk wad. Taklah sampai pakar bius seperti Dr Rohani kena datang pukul 1 pagi untuk intubate dan ventilate orang. Belum lagi kira Doktor Norli dan Doktor Azura kena datang ke CCU untuk buat Chest Tube untuk orang sebab nak keluarkan air lebih dari paru-paru yang terendam dengan air.

Pagi itu juga, Staff nurse Diana kena tunggu dari pukul 2 pagi hingga 5 pagi untuk buat dialysis kerana paru-paru orang dah terlebih air. SN Diana terpaksa pulak sediakan mesin untuk orang dialysis sehingga 2 mesin kena siapkan kerana nak ikut kesesuaian keadaan orang masa tu. (Masa tu, orang punya BP rendah, tak boleh guna mesin dialysis biasa, kena guna yang lain ). Tapi... tak boleh guna juga.
Belum lagi para petugas ambulan dan Wiwi yang sama-sama datang membantu mengangkat/membawa orang turun dari master bedroom turun tangga hingga kebawah.

Tiapkali orang menerima rawatan di CCU, maka staff Nephro dari unit dialysis kena lah naik ke wad CCU untuk orang dialysis. Berdeda-dedalah dan bergilir-gilirlah MA Hj Sulaiman, MA Rozi, MA Rofaizi, MA Lutfi, MA Faizun, MA Hj Mulok, SN Diana, SN Romela, SN Lia dan SN Zuraida kena bertugas pasang mesin di CCU hanya untuk orang. Dr Goh, Dr Gan, Dr Malini dan Dr Hanim kenalah pulak membuat round hingga ke CCU. Dan yang paling penting ialah Yang iaitu doktor peribadi/teman sekatil/suami/abah kepada 4 puteri paling sibuk memikirkan rawatan yang terhabis baik untuk orang.

Sejak orang kena penyakit ni, Yang banyak menolak tawaran pergi keluar negeri untuk conference dan meeting. Pernah meeting dalam negeri pun Yang kena ketepikan demi menjaga orang yang masih tak sudah-sudah berdegil dalam menjaga disiplin air.

Semasa PTK 6 yang tempuhari pun Yang kena banyak korbankan masa berkejar dari Shah Alam ke hospital dan kerumah. Mana nak buat assignment untuk presentation lagi, nak kena ambil orang pulang balik dari hospital ke rumah. Untung baik juga orang tak masuk wad.. kalau tak... memang cancel juga PTK tu.

Sepanjang 18 tahun kita berumahtangga, orang memang beruntung. Orang tak pernah kena cubit, pukul tapi orang yang selalu dok lepak lepuk kat Yang. Yang juga tak pernah keluar malam jumpa member kat kedai kopi, tak merokok, pergi karaoke, buat hal ke......
Anak-anak pula tak pernah dilibatkan dengan pergaduhan seperti pasangan suami isteri lain yang ada bergaduh mulut, kena sepak terajang dengan ayah mereka.

Bertanggungjawapnya Yang pada keluarga memang 'superb'. Perbelanjaan untuk keluarga memang jadi keutamaan Yang. Makanan untuk keluarga tak pernah kurang/putus. Kemudahan untuk kami Yang sediakan. Ikutkan dengan gaji Yang, Yang mampu bermewah-mewah untuk diri sendiri, tapi keluarga Yang dulukan. Bertuahnya kami yang menjadi sebahagian dari keluarga Yang.

Lebih-lebih lagi ketika orang mula sakit dulu, orang gaji masa tu tiada. Yang kena ambil cuti sebulan. Dengan orang yang sakit dan anak-anak tak sihat, Yang kena menjaga Ain yang sering termuntah. Muntah Ain, Yang bersihkan....Aisyah Yang siapkan makan pakainya.... Kakak dan Qeeb yang kena ke sekolah, Yang yang kena ambil dan hantar. Mana lagi nak sediakan makan untuk kita sekeluarga.

Bila diingatkan semula, orang patut banyak bersyukur dengan hidup orang kini. Allah dah kurniakan suami yang baik, anak-anak yang baik dan sihat dan kehidupan yang selesa. Untuk itu, kesedaran dalam penjagaan kesihatan harus menjadi keutamaan pada orang. Insya'Allah.

Dan dari orang, hanya ucapan ribuan terima kaseh yang tak terhingga atas jasa dan pengorbanan yang telah Yang berikan. Muga Allah memberi ganjaran yang besar buat Yang.

You're the Best. Yang..........

Monday, September 14, 2009

Jalan-jalan ke selatan Thailand.

Semasa kami tinggal di Pulau Pinang, kami sering pergi bercuti di Hadyai, Thailand. Ketika itu wilayah selatan Thai masih aman dan belum bergolak dengan letupan bom dan pembunuhan.
Pernah bapa mertua akak mengajak kami pergi bercuti ke Hadyai, Songkla, Pattani, Narathiwat dan Yala. Kami bermalam di Hadyai, Pattani dan Yala.
Hari pertama, kami sibuk menyopping di Hadyai... esoknya kami bertolak ke Songkla, Narathiwat dan Pattani. Waktu makan tengahari kami menjamu selera di kedai tomyam di Pattani. Kami order menu tomyam dan yang istimewanya adalah daging lidah goreng. Punyalah sedap, sampai 3 kali order. Masakannya cukup sedap. Sayang sekali masa tu, akak takda digital kamera. Dan masa tahun 2003 belum pandai nak buat blog. Jika tidak, setiap langkah kami kemana-mana pun tentu ada gambar yang dapat disertakan.
Bermalam di hotel di Pattani, memang best. Masakan yang disediakan sesuai dengan selera dan yang penting, halal.
Esoknya, kami meneruskan perjalanan ke Yala. Perjalanan melalui lebuh raya yang tidak bertol ke wilayah selatan Thai, memang menyeronokkan dengan pemandangan kampung-kampung dan penduduk tempatan. Sempat juga kami singgah membeli jualan-jualan penduduk tempatan yang menjual keropok, belacan dan buah-buahan.
Alhamdulillah lah, sempat juga kami berjalan di selatan Thailand sebelum kekecohan seperti sekarang ini. Yang penting dapat merasa tomyam yang oiginal dan sedap. Daging merahnya pun guna lidah lembu bukannya daging lembu yang di hiris tebal-tebal.

Saturday, September 12, 2009

Fobia.



Untuk pertama kalinya akak pergi ke hospital untuk dialysis ekstra hari. Maksudnya tambah sehari ekstra dari yang sepatutnya 3 kali seminggu. Semalam, (Jumaat) akak pergi macam biasa tapi hari ini (Sabtu) akak sengaja pergi lagi kerana dah fobia bila berat badan (kandungan air dlm badan ) belum mencecah berat ideal iaitu 50 kg. Akak masih berhutang 3.5 kg. Hari ini tarik 2 kg dan hari isnin tarik bakinya.
Sebulan yang lalu akak pernah mengalami sesak nafas yang teramat sangat sehinggakan kena intubate dan ventilated akibat berlebih air, akak bersetuju untuk datang dialysis ekstra pada hari sabtu. Pengalaman sehinggakan menyusahkan ramai petugas kesihatan di E.D., Bius, Nephro ,CCU dan suami akak sendiri pada pukul 2-5 pagi 11hb Ogos lalu.... cukup-cukuplah hendaknya. Akak juga telah berjanji untuk menjaga disiplin penjagaan Air. Insya'Allah.
Hari ini meriah sikit, kesemua anak-anak akak menemani akak dan suami ke HDU.

Friday, September 11, 2009

Encik Rotan.


Istilah Encik Rotan baru saja diperkenalkan kepada anak bungsu akak, Aisyah. Saja diperkenalkan bila Aisyah mula menyakat kakaknya Ain dan membuat nakal seperti tak mahu pakai seluar selepas buang air.
Selalunya bila sebut aje Encik Rotan, Aisyah akan merayu, "Janganlah macam itu..." ataupun terus jadi mengikut kata.
Ceritanya semalam...... semasa akak gertak dia kerana tak mahu pergi buang air, akak gunalah ayat keramat..." Encik Rotan...marilah jumpa Aisyah....".
Nak tau apa jawap Aisyah?..." Encik Rotan ada atas almari, dia takda kaki nak turun, tak da tangan.. tak da mata......."
Sakit perut akak dan suami mendengar nyanyian Aisyah memberi jawapan logik tentang Encik Rotan... Dia seakan nak bagitau, tak perlu takutkan Encik Rotan... Encik Rotan takda kuasa......

Thursday, September 10, 2009

Pengalaman tinggal 3 minggu di Hanoi, Vietnam.





























Pada hujung tahun 2006, suami akak dihantar bertugas di Hospital Bach Mai, Hanoi Vietnam. Olehkerana anak-anak masih perlu bersekolah, 3 minggu selepas suami akak berlepas kesana, kami sekeluarga pula menyusul ke Hanoi. Dari rumah, adik ipar akak mengambil kami dan menghantar kami ke LCCT, Sepang.

Anak-anak tidak akak beritahu tujuan kami kemana. Memang itulah perangai akak...tak suka beritahu awal kerana anak-anak akak bukan boleh kita janji apa-apa..mereka akan menuntut hari-hari. Termasuklah pada hari pemergian kami ke Hanoi. Akak membeli beg besar dan akak tinggalkan didalam kereta. Bila akak ingin memasukkan pakaian kami, akak bawa baju sikit-sikit dan masukkan kedalam beg yang akak tinggalkan di ruangtamu. Anak-anak perasan ada beg besar, tapi alasan akak ialah nak isikan baju-baju abah, nanti nak hantar kat airport untuk hantar pada abah di Hanoi. Semuanya pakat percaya.

Bila sampai di airport, kalutnya akak jadinya. Orang ramai...anak 4 orang, akak sorang nak jaga... Untunglah adik ipar akak membantu selesaikan urusan akak dan belikan makanan di Mc Donald dan bantu check in kan akak, kemudian barulah beliau pulang.

Semasa hendak menaiki pesawat, biasalah kena jalan kaki dengan agak jauh untuk menaiki pesawat, kalutlah lagi akak...kena jalan cepat-cepat kerana nak pastikan dapat tempat duduk dekat-dekat dengan anak... Terjerit-jeritlah akak memastikan anak-anak berjalan sama cepat dengan akak dan pastikan keempat-empatnya ada, tiada yang tercicir.

Okaylah lega rasanya bila semuanya dah dapat tempat duduk yang berdekatan.

Setibanya di airport Hanoi, dari jauh dah kelihatan suami akak yang dah siap menunggu kami. Selesai urusan kastam, dapatlah kami bertemu. Aisyah yang sudah dua minggu tak jumpa abahnya, duduk di bahagian hadapan teksi bersama abahnya. Aisyah terus memegang tangan abahnya sepanjang perjalanan mungkin kerana masih rindu.

Setibanya di bandar Hanoi, kami dibawa makan malam di Restoren Nisa. Inilah satu-satunya Restoren Islam rakyat Malaysia dan ada lauk-lauk Malaysia seperti Masak daging dendeng, Kari ikan, kari ayam dan lain-lain.

Selesai makan, kami berjalan sebentar di Old Quarters, (tempat shopping yang terkenal). Banyaklah terdapat gerai dan kedai menjual kasut-kasut, baju-baju, beg-beg dan lain-lain lagi. Memang meriah nampaknya...

Pada esoknya, selepas suami akak pergi kerja, akak pun berjalan-jalan di kawasan sekitar hotel kami. Terdapat pasar kecil menjual ikan, ayam, (lembu kecil) sayur-sayuran dan buah-buahan. Seronoknya kerana musim kami berada di sana adalah musim agak kering dan dingin dan juga musim buah oren kecil-kecil (terangatlah manis). Akak sering membeli buah oren tersebut sepanjang kami berada di sana. Sehinggakan si penjual buah dahpun mengenali akak setiapkali melihat akak datang ke pasar. Ada juga penjual buah yang menjual tebu yang sudah siap di kopek kulit dan dipotong kecil-kecil. Satu beg plastik dijual dengan harga 30sen duit kita.

Akak pernah memasak dalam bilik hotel, jadi akak sering membeli beras, udang, nenas dan sayur-sayuran. Ikan mereka selalunya ikan sungai ataupun tasik (besar-besar sangat)...jadinya akak tak pernah beli ikan hidup. Udang saja yang akak beli. Ikan, kami beli ikan sardin untuk buat kari, masak asam pedas ataupun sambal. Udang, akak masak lemak dengan nenas... berselera.....

Penjual-penjual yang biasa akak beli barang dengan mereka, cukup senang bila akak ke pasar, macam kawan tapi kami saling berbahasa ibunda sendiri. Macamlah itik dan ayam... tapi bila tunjuk duit, sama-sama faham.

Suami akak membuat rancangan percutian untuk kami ke Halong Bay. Perjalanan kami diuruskan oleh syarikat tour yang menyediakan kenderaan dan pemendu pelancong. Dari pemandu inilah banyak informasi yang berguna buat kami. Perjalanan yang mengambil masa 4 jam dengan menaiki van bersama-sama dengan pelancong dari China, memang menyeronokkan.

Setibanya kami di pelabuhan Halong Bay, kami dibawa menaiki kapal seakan tongkang yang mempunyai ruang rehat, beberapa buah bilik-bilik persendirian. Hiasan dalamannya juga amat menarik. (Nanti akak muatkan gambar-gambarnya).

Semasa kapal mula belayar, memang seronok dapat melihat keindahan laut dan selat Halong Bay. Bila tiba di kawasan Halong Bay, terdapat gua-gua batu kapur yang indah mengelilingi kawasan tersebut. Kami dibawa ke sebuah pulau untuk mendaki bukit batu kapur. Akak tidak turut serta kerana pendakian tersebut memang memenatkan dan akak membawa Aisyah yang baru berumur setahun lima bulan. Kami tunggu di permulaan tempat mendaki dan dijamu makan jagung rebus oleh penjaga pulau tersebut.

Pada malamnya, nampak indah dengan kapal-kapal yang memasang lampu berwarna-warni yang sama-sama berlabuh di kawasan tersebut. Bangun pagi, kelihatan kabus dan begitu sejuk dan nyaman terasa. Memang suatu pengalaman baru buat kami.

Jikalah suami akak tidak beria-ia mengajak kami ke Halong Bay, memanglah hanya pernah dengar nama saja kami tapi tak dapat merasai pengalaman yang indah ini. Akak memang agak malas nak naik bas atau van lama-lama sangat.. Pernah suami akak mengajak ke Danau Toba, tapi bila dengar kena naik bas berjam-jam.... buatkan akak tak berminat. Dah tua macam ni, memang dah tak larat nak travel lama-lama dalam bas. Dan sepanjang kami berada di Hanoi, kami dibawa melawat zoo, menyaksikan pertunjukan sarkas, menyaksikan pertunjukan seni patung yang terkenal dan membeli belah.

Seperkara yang ingin akak kongsi disini ialah, bila berada di bandar Hanoi, kita akan dapat mendengar bisingnya bunyi hon dari penunggang motor yang begitu banyak terdapat disini. Kereta dan teksi juga sering membunyikan hon kenderaan masing-masing. Memang bingit dan boleh kedengaran sehingga kedalam bilik hotel kita.

Di bandar Hanoi terdapat sebuah masjid tua yang di jaga oleh sekeluarga orang vietnam dan beliau sajalah merupakan penduduk Hanoi yang beragama Islam. Masjid tersebut sering dikunjugi oleh petugas-petugas Islam dari lain-lain negara. Dan masjid tersebut hanya akan meriah bila solat jumaat dan solat hari raya.

Setelah berada hampir 3 minggu di Hanoi, kami pun pulang dahulu tanpa suami akak kerana suami akak perlu menunggu dan menyelesaikan tugasnya hampir 3 minggu lagi. Sekali lagi akak kelam kabut menjaga 4 orang anak untuk menaiki kapal terbang pulang. Akak-akak.....

Tuesday, September 8, 2009

Kerjaseni Ain



Ini adalah hasil kerja seni tangan dari anak akak Ain. Dia cukup suka membuat patung-patung Pokemon dan membentuk plastercine menjadi seperti bentuk burger, fries, air dalam cawan Mc Donald siap dengan straw dan juga hot dog.
Jika dibelikan plastercine yang mempunyai berbagai warna, Ain dengan gembiranya akan membuat bentuk-bentuk tersebut. Pernah dahulu, akak merasakan patung-patung Pokemon adalah salah jika dibuat bentuknya maka akak meminta Ain memusnahkan patung-patung tersebut. Sebaik akak beritahu dari segi agama islam bahawa salah membentuk patung-patung, Ain menangis dan bersetuju untuk memusnahkan patung-patung pokemon tersebut. Sehinggalah apabila abahnya membelikan sekotak plastercine yang baru semalam, maka Ain bentukkan patung-patung pokemon itu.

Hari Lahir ke 45.



Ikutkan memang akak dah tak mahu menyambut hari lahir. Sejak tahun lepas rasanya akak dah tak berminat nak sambut hari lahir. Sejak tahun lepaslah akak mula dialysis dan tarikhnya dekat dengan sambutan hari lahir ke 44. Memang masa tu akak terasa sedih sangat. Dahlah sakit, kena dialysis seumur hidup, rasanya dah tak ada lagi berita yang menggembirakan buat akak. Saat gembira seakan dah berlalu jauh dari akak.
Lupanya akak ni sebagai manusia. Sebelum ini akak dapat banyak perkara yang menggembirakan hati. Seperti saat berumahtangga, mempunyai anak, suami yang baik dan penyayang, suami naik pangkat tetapi semua itu akak lupa hanya kerana Allah menguji akak dengan penyakit Buah Pinggang yangmana perlukan rawatan dialysis seumur hidup.
Alhamdulillah, dalam banyak kepayahan dan pernah berhenti pernafasan sebentar sehingga kena intubate dan ventilate...... akak dahpun dapat menerima kenyataan bahawa semua ini dugaan dari ALLAH yangmana dengan ujian ini akak akan menjadi insan yang lebih baik dari dahulu.
Pada tahun ini tidak terkecuali. Hari lahir datang lagi... Pagi-pagi lagi akak dah dapat ucapan selamat hari lahir dan begitulah selama sepanjang hari. Rata-rata saudara dan teman-teman mendoakan kesihatan yang baik dan umur yang panjang.
Dari anak-anak, zahrah dan ain membuat kad hari lahir sendiri...qeeb pula mengajak adik dan kakaknya menyanyikan Happy Birthday di Facebook dan dari suami akak ialah satu Laptop Acer Aspire one (untuk akak bawa semasa dialysis) dan kek black berry cheesecake.
Alhamdulillah. Akak masih diperlukan dan diingati nampaknya.

Keluarga Kembangan.

Masa anak akak darjah satu, dalam pelajaran sivik ada diajar Keluarga kembangan. iaitu keluarga asas dari datuk dan nenek dan anak-anak telah berkembang menjadi keluarga kembangan. Bila anak-anak tersebut berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri.

Cerita yang ingin akak bawakan disini ialah, walaupun cerita sebuah keluarga ini pada asalnya tiada kena mengena dengan akak, penerimaan mereka terhadap akak membuatkan seperti akak ni sebahagian dari mereka.

Mulanya akak berkenalan dengan salah seorang anggota keluarga mereka yang bernama Zuraida dimana kami sama-sama menganggotai Persatuan Bulan Sabit Merah. Setiapkali ada perjumpaan persatuan, kami sama-sama mewakili sekolah kami untuk perjumpaan tersebut.

Pada suatu hari, terasa ringan saja mulut akak menyapanya. Bila berbalas-balas soal jawap, hubungan pun mesra. Perjumpaan seterusnya membuat kami berasa selesa sekali berbual mesra.

Setelah mesra, bertukar nombor talipon lah pulak... Bila ada lapang contohnya hari sabtu, kami rajin keluar menonton wayang, main tenis, pergi library dan menyopping.

Kadang-kadang ada masanya, kami kunjung mengunjung kerumah masing-masing. Perkenalan bukan setakat dengannya, dah termasuk ibu iaitu umi, kakak, kak Ani dan Kak Long dan anak-anak saudaranya iaitu Iqbal, Alita dan Deeb. Mereka juga turut mengenali emak akak.

Apabila emak akak meningggal dunia, hubungan kami menjadi bertambah rapat. Kak Long dan ibunya, Umi mengajak akak terus tinggal bersama-sama mereka. Penerimaan dan kemesraan pihak keluarga mereka terhadap akak, membuatkan akak selesa tinggal bersama-sama mereka. Tak pernahlah terbetik kata-kata dari mana-mana anggota keluarga mereka samada berapa lama nak menumpang, tak bayar apa-apalah..memang tak pernah terdengar.

Disitulah pula akak menumpang kasih dan sehinggakan bila sakit pening pun mereka yang ambil tahu. (Kan macam keluarga sendiri).

Bayangkanlah punya besar jasa mereka pada akak sehinggakan untuk mencari kedudukan pusara emak akak pun mereka yang uruskan dan urusan menggantikan nama arwah emak dalam geran pun mereka yang uruskan sehingga selesai berdasarkan Surat Hebahan Semasa Hidup yang dibuat oleh arwah emak. Hinggakan urusan akak ke tanah suci pun diuruskan oleh keluarga ini.

Nak akak tambah lagi, urusan kenduri kendara akak semasa ingin mendirikan rumahtangga pun keluarga merekalah yang uruskan... Memang besar sekali budi dan jasa mereka, hanya ALLAH Swt sahaja yang membalasnya.

Umi telahpun meninggal dunia pada May 2006. Semuga Allah mencucuri Rahmat keatas rohnya dan menempatkannya bersama-sama mereka yang ALLAH kasihi. Dan Iqbal yang paling kami kasihi,( akak sama-sama melihat pembesarannya sejak dari umur setahun hingga berumahtangga) telahpun kembali kerahmatullah pada Disember 2006.

Paling akak kesalkan kerana akak tak dapat sama-sama menziarah pada hari pengebumiannya kerana kami sekeluarga semasa itu berada di Hanoi, Vietnam. Panggilan talipon pada subuh itu benar-benar mengejutkan. Semuga Allah mencucuri Rahmat keatas rohnya dan menempatkannya bersama-sama mereka yang ALLAH kasihi.

Buat Kak Long, Kak Aini dan Zuraida...... kasihsayang yang diberikan benar-benar tulus dan ikhlas. Hanya Allah sahajalah yang dapat membalas segala budi baik semua.

Jazakallahu khairan kathira.


Sunday, September 6, 2009

AIR TANGAN MAK.

Petang semalam, akak dan keluarga berbuka bersama-sama dengan mak di Hulu Langat. Mak akak (yang melahirkan) masih ada lagi... beliau menetap bersama-sama adik lelaki bungsu di Hulu Langat.

Akak memang telah mengenali mak betul dan ayah betul sejak kecil lagi. Arwah mak angkat akak yang akak panggil emak memang dari awal-awal dah mengenalkan kami. Tapi, kasihsayang yang berlebihan buat arwah emak, akak tidak begitu menghiraukan kenyataan anak angkat. Pernah emak angkat beritahu," Kalau mak meninggal, baliklah tinggal dengan emak betul". Jawap akak " Kalau emak meninggal, orang pun ikut meninggal....". Itu jawapan budak umur 9 tahun.

Selepas emak angkat meninggal semasa akak berumur 17tahun, akak sering juga mengikut abang-abang akak yang sering berkunjung kerumah kami di kampong baru membawa akak pulang kerumah emak di Hulu Langat.

Abang yang kedua, sebelum mak meninggal pun dah mula merapatkan dirinya dengan akak. sering akak mengikutnya menonton wayang, menonton TATU (Askar buat persembahan) dan kerumah isterinya di kampung Sabak Bernam.

Abang yang sulung pula sering membawa akak pulang ke rumah emak, rumah bapa saudara di Port Dickson dan memancing sungai. Boleh dikatakan sebaik emak akak meninggal dunia, abang-abang akak sering mengunjungi akak. Bila akak sunyi, ada saja abang-abang yang bersedia mengambil akak dan membawa akak pergi makan, tengok wayang dan memancing.

Ada seorang abang lagi (dah arwah), sebut aje takda duit, berlari datang hantar duit. Kiranya walaupun akak tak dapat bermanja semasa kecil-kecil dengan abang-abang dan kakak-kakak, bila dah dewasa sikit, dapatlah bermanja dengan abang-abang kandung.

Alhamdulillah.....
Berbalik semula dengan cerita berbuka semalam. Akak sejak sering sakit dan menjadi penghuni berkala bilik CCU Hospital, memang jarang pulang kerumah mak. Semalam, kami berjanji nak berbuka disana. Kebetulan adik dan kakak akak serta keluarga mereka turut berbuka sama. Adik akak memang tinggal berdekatan dengan emak. Sering datang dan menolong masak bersama emak. Emak akak memang sering mengharapkan adik perempuan akak menolong memasak kerana kecekapannya memasak dan berkemas. Jika dia di dapur, macam-macam masakan ada siap dengan kuih lagi. Petang semalam, dia buat kuih samosa. Sedappppp....
Manakala emak memasak lauk kegemarannya iaitu ikan terubuk bakar, gulai tempoyak ikan kembong, sambal ayam, sambal paru dan yang specialnya air ricikan timun dan tembikai. Mulanya semasa akak datang, akak belikan air bandung dan kelapa tapi akhirnya akak berulang-ulang minum air emak akak. Sedap.... minum dengan rasa cruncy timun dan tembikai.... letak pula air batu (ais).... sedapppp......
Bila dah jumpa sekali-sekali...datang pula kakak akak membawa berbagai lauk dan mee gorengnya.. memang sedap mee gorengnya. Macam nak pecah perut makan.
Emak akak pula, mulanya senduk nasi sikit saja kerana tak begitu selera, akhirnya olehkerana seronok anak-anak, menantu dan cucu-cucu berkumpul, tambah juga sesenduk nasi lagi... Kalau dah ramai-ramai, memang berselera. Akak yang hanya dibolehkan meminum 500ml air dalam sehari, terlepas juga dari yang sepatutnya. Air emak akak tu memang sedap bila dicampurkan dengan sirap buatan sendiri yang dibuat oleh emak juga. Air tangan mak...... memanglah sedap.

Saturday, September 5, 2009

KENANGAN SEMASA KECIL 14

Dahulu, tahu 70an, di bangunan inilah tempat membayar bil air, bil cukai pintu.

Dalam dok teringat kisah masa kecil dulu, akak selalu dibawa menemankan arwah mak yang perlu membayar cukai pintu, cukai tanah, bil elektrik dan bil air. Emak memang senang sekali kalau akak dapat mengikut beliau membayar bil-bil tersebut kerana akaklah yang selalunya beratur untuk membayar bil dan akak tahu mencari tempat untuk membayar bil.

Seingat akak, untuk membayar cukai tanah dan pintu, kami kena pergi ke pejabat tanah dan hasil di salah satu bangunan lama iaitu Bangunan Sultan Abdul Samad di depan Dataran Merdeka. Di situ juga terletak pejabat Dewan Bandaraya yang lama dan dibuka kaunter untuk membayar cukai pintu. Di satu sudut bangunan tersebut, dibuka kaunter untuk membayar bil air.

Untuk membayar bil eletrik, kami terpaksa pergi ke Medan Bunus, berdekatan dengan Semua House kini. Disitu ada bangunan LLN-Lembaga Letrik Negara (dahulu). selalunya memang ramai orang.

Pernah satu hari tu, akak beratur agak lama dan bila tiba giliran akak, akak ditanya oleh kerani kaunter (seorang wanita cina) " You sekolah ke tidak?" (Waktu tu menunjukkan pukul 1230tghari) " Sekolah". "Cepat bagi bil, cepat pergi sekolah". Beliau memahami akak mebantu emak yang sudah tua dan uzur dan dalamasa yang sama dah terlewat untuk ke sekolah. Akak memang dah terlewat pada hari itu kerana kami pergi beberapa tempat.

Yang membuatkan akak terharu, bila kerani kaunter itu tahu yang akak sering membantu emak membayar bil setiap bulan, beliau memberi kelonggaran pada akak setiap kali akak ingin membayar bil. Jika setiapkali akak sampai, akak pasti akan berdiri didepannya biar dia nampak dan dia akan memanggil akak dan menyelesaikan bil akak dahulu.

Untuk pertolongan akak, emak tentunya akan menghadiahkan akak sekeping coklat kit-kat. Bilamana akak mebantu mengikut emak membayar bil, pasti coklat kit-kat menjadi juadah istimewa akak.

Hamster nak makan...