Pada hujung tahun 2006, suami akak dihantar bertugas di Hospital Bach Mai, Hanoi Vietnam. Olehkerana anak-anak masih perlu bersekolah, 3 minggu selepas suami akak berlepas kesana, kami sekeluarga pula menyusul ke Hanoi. Dari rumah, adik ipar akak mengambil kami dan menghantar kami ke LCCT, Sepang.
Anak-anak tidak akak beritahu tujuan kami kemana. Memang itulah perangai akak...tak suka beritahu awal kerana anak-anak akak bukan boleh kita janji apa-apa..mereka akan menuntut hari-hari. Termasuklah pada hari pemergian kami ke Hanoi. Akak membeli beg besar dan akak tinggalkan didalam kereta. Bila akak ingin memasukkan pakaian kami, akak bawa baju sikit-sikit dan masukkan kedalam beg yang akak tinggalkan di ruangtamu. Anak-anak perasan ada beg besar, tapi alasan akak ialah nak isikan baju-baju abah, nanti nak hantar kat airport untuk hantar pada abah di Hanoi. Semuanya pakat percaya.
Bila sampai di airport, kalutnya akak jadinya. Orang ramai...anak 4 orang, akak sorang nak jaga... Untunglah adik ipar akak membantu selesaikan urusan akak dan belikan makanan di Mc Donald dan bantu check in kan akak, kemudian barulah beliau pulang.
Semasa hendak menaiki pesawat, biasalah kena jalan kaki dengan agak jauh untuk menaiki pesawat, kalutlah lagi akak...kena jalan cepat-cepat kerana nak pastikan dapat tempat duduk dekat-dekat dengan anak... Terjerit-jeritlah akak memastikan anak-anak berjalan sama cepat dengan akak dan pastikan keempat-empatnya ada, tiada yang tercicir.
Okaylah lega rasanya bila semuanya dah dapat tempat duduk yang berdekatan.
Setibanya di airport Hanoi, dari jauh dah kelihatan suami akak yang dah siap menunggu kami. Selesai urusan kastam, dapatlah kami bertemu. Aisyah yang sudah dua minggu tak jumpa abahnya, duduk di bahagian hadapan teksi bersama abahnya. Aisyah terus memegang tangan abahnya sepanjang perjalanan mungkin kerana masih rindu.
Setibanya di bandar Hanoi, kami dibawa makan malam di Restoren Nisa. Inilah satu-satunya Restoren Islam rakyat Malaysia dan ada lauk-lauk Malaysia seperti Masak daging dendeng, Kari ikan, kari ayam dan lain-lain.
Selesai makan, kami berjalan sebentar di Old Quarters, (tempat shopping yang terkenal). Banyaklah terdapat gerai dan kedai menjual kasut-kasut, baju-baju, beg-beg dan lain-lain lagi. Memang meriah nampaknya...
Pada esoknya, selepas suami akak pergi kerja, akak pun berjalan-jalan di kawasan sekitar hotel kami. Terdapat pasar kecil menjual ikan, ayam, (lembu kecil) sayur-sayuran dan buah-buahan. Seronoknya kerana musim kami berada di sana adalah musim agak kering dan dingin dan juga musim buah oren kecil-kecil (terangatlah manis). Akak sering membeli buah oren tersebut sepanjang kami berada di sana. Sehinggakan si penjual buah dahpun mengenali akak setiapkali melihat akak datang ke pasar. Ada juga penjual buah yang menjual tebu yang sudah siap di kopek kulit dan dipotong kecil-kecil. Satu beg plastik dijual dengan harga 30sen duit kita.
Akak pernah memasak dalam bilik hotel, jadi akak sering membeli beras, udang, nenas dan sayur-sayuran. Ikan mereka selalunya ikan sungai ataupun tasik (besar-besar sangat)...jadinya akak tak pernah beli ikan hidup. Udang saja yang akak beli. Ikan, kami beli ikan sardin untuk buat kari, masak asam pedas ataupun sambal. Udang, akak masak lemak dengan nenas... berselera.....
Penjual-penjual yang biasa akak beli barang dengan mereka, cukup senang bila akak ke pasar, macam kawan tapi kami saling berbahasa ibunda sendiri. Macamlah itik dan ayam... tapi bila tunjuk duit, sama-sama faham.
Suami akak membuat rancangan percutian untuk kami ke Halong Bay. Perjalanan kami diuruskan oleh syarikat tour yang menyediakan kenderaan dan pemendu pelancong. Dari pemandu inilah banyak informasi yang berguna buat kami. Perjalanan yang mengambil masa 4 jam dengan menaiki van bersama-sama dengan pelancong dari China, memang menyeronokkan.
Setibanya kami di pelabuhan Halong Bay, kami dibawa menaiki kapal seakan tongkang yang mempunyai ruang rehat, beberapa buah bilik-bilik persendirian. Hiasan dalamannya juga amat menarik. (Nanti akak muatkan gambar-gambarnya).
Semasa kapal mula belayar, memang seronok dapat melihat keindahan laut dan selat Halong Bay. Bila tiba di kawasan Halong Bay, terdapat gua-gua batu kapur yang indah mengelilingi kawasan tersebut. Kami dibawa ke sebuah pulau untuk mendaki bukit batu kapur. Akak tidak turut serta kerana pendakian tersebut memang memenatkan dan akak membawa Aisyah yang baru berumur setahun lima bulan. Kami tunggu di permulaan tempat mendaki dan dijamu makan jagung rebus oleh penjaga pulau tersebut.
Pada malamnya, nampak indah dengan kapal-kapal yang memasang lampu berwarna-warni yang sama-sama berlabuh di kawasan tersebut. Bangun pagi, kelihatan kabus dan begitu sejuk dan nyaman terasa. Memang suatu pengalaman baru buat kami.
Jikalah suami akak tidak beria-ia mengajak kami ke Halong Bay, memanglah hanya pernah dengar nama saja kami tapi tak dapat merasai pengalaman yang indah ini. Akak memang agak malas nak naik bas atau van lama-lama sangat.. Pernah suami akak mengajak ke Danau Toba, tapi bila dengar kena naik bas berjam-jam.... buatkan akak tak berminat. Dah tua macam ni, memang dah tak larat nak travel lama-lama dalam bas. Dan sepanjang kami berada di Hanoi, kami dibawa melawat zoo, menyaksikan pertunjukan sarkas, menyaksikan pertunjukan seni patung yang terkenal dan membeli belah.
Seperkara yang ingin akak kongsi disini ialah, bila berada di bandar Hanoi, kita akan dapat mendengar bisingnya bunyi hon dari penunggang motor yang begitu banyak terdapat disini. Kereta dan teksi juga sering membunyikan hon kenderaan masing-masing. Memang bingit dan boleh kedengaran sehingga kedalam bilik hotel kita.
Di bandar Hanoi terdapat sebuah masjid tua yang di jaga oleh sekeluarga orang vietnam dan beliau sajalah merupakan penduduk Hanoi yang beragama Islam. Masjid tersebut sering dikunjugi oleh petugas-petugas Islam dari lain-lain negara. Dan masjid tersebut hanya akan meriah bila solat jumaat dan solat hari raya.
Setelah berada hampir 3 minggu di Hanoi, kami pun pulang dahulu tanpa suami akak kerana suami akak perlu menunggu dan menyelesaikan tugasnya hampir 3 minggu lagi. Sekali lagi akak kelam kabut menjaga 4 orang anak untuk menaiki kapal terbang pulang. Akak-akak.....
No comments:
Post a Comment
Sila beri komen anda.