Mulanya kami penduduk di Jalan Raja Muda, Kg Baru dapat merasakan sesuatu akan berlaku apabila melihatkan ramai orang-orang lelaki Melayu yang muda dan tua mula berarak pada petang 12Mei 1969 menuju ke Rumah Menteri Besar ketika itu iaitu Datuk Harun bin Idris.
Saudara mara akak yang tinggal jauh seperti di Selayang, Gombak dan Kg Batu Lima sudah datang berkumpul di rumah akak. Ketika itu akak baru berumur 5 tahun. Melihatkan mereka bersungguh -sungguh bercerita dengan arwah mak, siap dengan mengasah parang... Bagi seorang budak yang berumur 5 tahun, memang tidak mengerti apa yang sedang berlaku. Adapun rasa gembira bila ramai saudara datang rumah.
Pada sebelah malam itu, saudara mara akak turut berkumpul di Rumah Menteri Besar. Emak akak memang nampak cemas dan bertanyakan keadaan yang sebenarnya kepada penyewa kami yang bertugas sebagai Sarjan Polis, di balai Dang Wangi. Arwah Pak cik Aris memberitahu ada perintah berkurung (curfew) ketika ini kerana kaum cina sedang bergaduh dengan kaum melayu. Keadaan di Chow KIt Road agak tegang ketika itu.
Pada pagi esoknya, akak melihat jalanraya (Jalan Besar) di hadapan rumah akak begitu lengang sekali. Tidak ada sebiji kereta pun lalu. Tiba-tiba akak lihat di seberang jalan terdapat 10 orang pemuda melayu sedang berdiri di tepi jalan.
(Part ini yang paling sedih...) Nak cerita, salah..tak cerita pun salah.
Adalah sebuah kereta mini minor (mcm kereta mr Bean) lalu. Di Dalamnya ada seorang lelaki cina, seorang isteri dan seorang anak kecil.
Melihatkan kereta tersebut dinaiki oleh lelaki cina, 10 orang pemuda melayu tersebut pun memberhentikan kereta tersebut. Pemandu lelaki cina itu ditumbuk dan dipukul oleh 10 orang melayu tersebut. Melihatkan kekalutan tersebut, isterinya yang mendokong anaknya lari dari tempat itu dan berlari menuju ke rumah akak. Kebetulan masa itu arwah mak akak sedang membuka pintu kerana nak keluar dan meminta pemuda melayu tersebut berhenti dari bertindak begitu. Melihatkan pintu rumah kami yang terbuka, si isteri terus lari masuk ke dalam rumah akak untuk menyelamatkan dirinya. Adalah terdapat kesan-kesan darah di tangan dan bajunya. Beliau menangis-nangis tidak terkata. Agaknya ada rasa sedih melihatkan suaminya yang diperlakukan sebegitu.
Tidaklama kemudian, pintu rumah kami di ketuk oleh pemuda-pemuda melayu tersebut. Mereka minta arwah mak akak lepaskan si isteri cina tersebut kepada mereka. Puas mereka memaksa mak membuka pintu. Arwah mak, seorang perempuan yang agak di hormati di kampung tersebut, meminta mereka tidak berbuat demikian. Masih ingat lagi akak kata-kata arwah mak..." Kalau engkau hormatkan aku, janganlah ambil perempuan cina ni...pandanglah aku, orang tua." Mendengarkan kata-kata mak yang bersemangat tu, pemuda-pemuda itupun beredar.
Setelah melihatkan keadaan agak reda, mak pun keluar ke bahagian belakang rumah dan bertemu dengan pakcik Aris. Olehkerana Pak cik Aris adalah seorang polis, maka mak melepaskan perempuan cina tersebut pada Pak Cik Aris.
Sebaik saja perempuan cina itu keluar dari rumah kami, akak pun tak tahulah apa yang terjadi.
Begitulah keadaannya apabila negara kita Dharurat. Akak berdoa tidaklah lagi akak dan anak-anak akak menghadapi peristiwa yang serupa.
No comments:
Post a Comment
Sila beri komen anda.