Thursday, August 20, 2009

KENANGAN SEMASA KECIL 11.


Sewaktu akak berusia 14 tahun, sewaktu zaman sekolah dahulu, akak memang suka berkawan dengan berbagai lapisan umur. Yang adik, dianggap adik angkat dan yang senior sedikit jadilah kakak angkat. Biasalah orang perempuan, beza satuhari aje umur, dah panggil kakak. Kami bersekolah hanya perempuan sahaja maka makin meriahlah adik yang mencari kakak angkat dan kakak yang mencari adik angkat.

Tak terlepas dari kemeriahan tersebut adalah akak. Akak mempunyai seorang kakak angkat yang amat panjang rambutnya. Sepasang mata yang menarik dan berkulit hitam manis. Kami para junior memanggilnya Kak Mie.

Kak Mie tinggal di asrama berdekatan dengan sekolah kami. Bila ada waktu terluang seperti hari Sabtu, kak Mie suka mengajakku keluar menonton wayang dan 'window shopping'. Dan pada tengahari sabtu tersebut kami memilih untuk menonton wayang di Kompleks Ampang Park.

Sepulangnya kami dari menonton wayang, dahpun waktu petang dan olehkerana kami gemar berbual-bual maka kami mengambil keputusan untuk pulang ke asrama dengan berjalan kaki. Kami menyusuri sepanjang Jalan Ampang dan kemudian mengambil keputusan untuk mengambil jalan pintas dengan memasuki kawasan Perkuburan Jalan Ampang.

Sedang asyik leka kami berbual-bual, kami pun sudah berada dalam kawasan perkuburan Jalan Ampang dengan memberi salam yang disunatkan dan memulakan berjalan dengan berhati-hati sambil memerhatikan disekeliling kami yang dipenuhi dengan kubur.

Tiba-tiba akak menjerit terkejut yang teramat sangat kerana leher dan bahu akak seakan disambar sesuatu. Rupa-rupa Kak Mie membuat pusingan 90 darjah kepalanya dan rambutnya yang panjang tidak diikat telah mengenai tengkuk dan bahu akak..., dah lah kita sedang berjalan di kawasan perkuburan, manakan tak terfikir yang bukan-bukan... Akak menjerit dan Kak Mie pun terkejut. Sama-sama tenangkan diri dan membaca Ayat Kursi, berjalan laju-laju menuju pintu keluar di bahagian Kampong Bharu dan setelah sampai di asrama barulah kami boleh menceritakan kejadian tersebut.

Tapi kini Alhamdulillah. Kanak-kanak sekolah sejak dari sekolah rendah (yang perempuan) telah diberikan kesedaran agama bertudung dari kecil dan bagi yang lelaki ada ibubapa memberikan anak mereka memakai songkok ke sekolah.

Alhamdulillah.
Kenangan bersama teman sebaya ada juga kisahnya.
Sepulang dari sekolah kami gemar mengambil jalan jauh untuk pulang kerumah. Selepas penat berjalan, kami pun singgahlah di tempat orang menjual airbatu dengan menaiki kereta sorong. Mereka berniaga selalunya tanpa lesen yang sah dan seringkali berhati-hati kalau-kalau penguatkuasa bandaraya datang untuk menyaman mereka.
Sedang akak dan teman asyik menghirup air cendol, tiba-tiba peniaga cendol yang kami beli, lekas-lekas melarikan diri sebaik ternampak penguatkuasa. Tinggallah kami yang awalnya berdiri di tepi kereta sorong tersebut tinggal terpingga-pingga dengan semangkuk cendol dan dalam keadaan kehairanan. Memang lucu rupanya tanpa si penjual cendol dan kereta sorongnya. Tiba-tiba dua orang budak sekolah sedang memegang mangkuk berdiri tegak di tepi bangunan. Lawak betul.
Kami tidak dapat menunggu si penjual cendol kerana entah mana dia dah menghilangkan dirinya. Mangkuk yang di tangan kami, kami tinggalkan di tepi jalan. (Muga-muga sipenjual cendol datang semula dan mengutip mangkuknya).

No comments:

Post a Comment

Sila beri komen anda.

Hamster nak makan...