Salah satunya adalah permainan selipar.
Permainan ini memerlukan pemainnya mempunyai kad gambar yang ada dijual di kedai. Pemain akan membeli kad tersebut dengan harga 5sen sekeping dan kepingan yang besar tersebut mempunyai 25 kepingan yang kecil-kecil. Ada garisan untuk pemain memotong gambar-gambar tersebut dengan cara mengoyakkan mengikut dot-dotnya. Berbagai-bagai gambar yang tertera pada setiap kepingan. Ada gambar kartun dan ada gambar hero filem hollywood terkenal. Kepingan gambar tersebut juga mempunyai gambar daun terup dibelah belakangnya.
Bagi pemain yang agak berada, mereka akan membeli dalam jumlah yang banyak. Setelah dapat mengumpulkan pemain yang berminat menyertai permainan ini, setiap pemain akan diminta memberi kad-kad masing-masing dalam jumlah yang telah di persetujui oleh semua, kemudian pemain akan membuat bulatan di tanah dan dengan jarak yang agak jauh daripada bulatan tersebut, dibuatkan garisan. Setiap pemain perlu melemparkan selipar mereka mengenai kad-kad gambar yang disusun ditengah-tengah bulatan dan jika selipar tersebut mengenai kad-kad gambar yang disusun kemas itu, maka kad-kad tersebut akan terheret keluar dari garisan bulatan yang mengelilingi kad-kad tersebut. Pemain yang berjaya mengheret kad-kad gambar tersebut akan mengambil kad-kad gambar itu dan kad-kad itu menjadi kepunyaannya. Kemenangan akan dianugerahkan kepada pemain yang dapat mengumpul banyak kad. Oleh itu, selipar yang bersesuaian amat perlu dalam usaha untuk memenangi permainan ini. Kecekapan dan ketepatan dalam membuat lontaran juga amat penting.
Rindu sungguh akak dengan suasana zaman kanak-kanak dahulu. Tahunya main-main sahaja. Tengahari, balik makan. Lepas makan, keluar semula jumpa kawan-kawan. Tapi kebanyakan kawan-kawan akan di paksa tidur oleh ibu mereka pada waktu selepas zohor dan hanya akan dibenarkan keluar selepas waktu asar.
Salah seorang kawan akak memang agak payah dipaksa tidur. Maka dengan beliau, kami akan berjalan keliling Kg.Baru dengan menaiki basikal sehingga ke Jalan Raja Uda. Beliau yang bernama Linda mempunyai sebuah basikal chopper. Basikal chopper memang cantik dan pada waktu itu agak mahallah juga. Puas akak minta pada emak agar membelikan sebuah basikal tetapi beliau enggan kerana memikirkan tanpa mempunyai basikalpun akak masih boleh merayau keliling kampung. Untuk merayau keliling kampung, akak akan meminjam basikal jiran. Kadangkala adik saudara mak yang rajin datang kerumah kami dengan menaiki basikal daripada Kg. Kongo, Cheras (sekarang Bandar Tun Razak) akan menjadi mangsa akak. Setiap kali minta, dia terpaksa beri pinjam. Basikalnya ialah basikal Raleigh yang mempunyai palang.
Setelah puas merayau keliling kampung sehingga ke Pasar Minggu Kg.Baru, kami akan pulang kerumah. Memang terasa puas dapat melihat-lihat keadaan disekitar Kampung Baru. Dahulu, semua penduduk Kg.Baru adalah terdiri daripada orang-orang melayu. Tetapi kini, kebanyakan penduduknya adalah pendatang Indonesia yang telah berjaya membeli tanah penduduk asal Kg. Baru dan bila akak sekali-sekali melawat kawasan sekitar Kg Baru, kebanyakannya adalah pendatang Indonesia. Kebanyakan penduduk asal dah ramai tiada.
No comments:
Post a Comment
Sila beri komen anda.