Tuesday, August 18, 2009

KENANGAN SEMASA KECIL 10.

Macam inilah rupanya buah gajus mak cik yam, jiran maktua di selayang baru. Biji diluar buah itulah yang akak gigit dan menyebabkan mulut akak rasa pijar kerana getahnya.

Beginilah rupa lombong dihadapan dan dibelakang rumah maktua di Selayang Baru.

Kita kembali semula pada kenangan akak masa kecil dahulu. Akak hanyalah seorang anak yang dibela oleh mak saudara akak. Kami hanya tinggal bertiga dirumah arwah ibubapa mak angkat akak. Tapi, walaupun begitu.... olehkerana akak dibela dari sejak lahir, akak merasakan itulah emak yang melahirkan akak. Beliau mempunyai seorang kakak, seorang adik perempuan dan seorang adik lelaki. Malangnya adik lelaki mereka terlebih dahulu meninggalkan mereka dalam usia yang muda dan telahpun berumahtangga.

Marilah akak bercerita mengenai kakak kepada mak angkat akak. Namanya Pn Zabedah. Akak memanggilnya Mak Tua dan mak akak dan adiknya memanggil Kak Long. Mak akak dipanggil Mak Ngah dan adik perempuan mak akak di panggil Mak Cik.

Mak Tua akak ni, mempunyai hanya seorang anak lelaki. Beliau bertugas sebagai askar dan selepas pencen beliau bekerja di Tan Chong Motors. Olehkerana mak akak tiada mempunyai anak lelaki, pada Abang Mat dan keluarganyalah tempat mak menumpang kasih dan mengadu kesusahan.

Abang Mat ni tinggal di Kampong Selayang Baharu bersama isteri dan 7 orang anaknya. Dengan memiliki keluarga yang besar begitu dan umur anak-anak yang sebaya dengan akak, menjadikan akak merasa cukup seronok andainya dapat menghabiskan masa di situ.

Abang Mat adalah seorang yang amat bertanggupjawap terhadap keluarganya dan juga kepada keluarga kami. Perbelanjaan bulanan turut juga dikeluarkan buat emak angkat akak. Jika beliau ingin membawa keluarganya pergi berkelah, akak dan emak seringkali dibawa bersama. Dengan memiliki beberapa jenama kereta sebelum itu, kereta yang paling akak ingat ialah Austin dan Datsun. Tak dapat akak ingat bagaimana kami semua boleh muat dan tidak pula bergaduh akibat sempit macam perangai anak-anak akak.

Dengan membawa penumpang iaitu 4 orang dewasa dan 7 orang kanak-kanak (masa dulu, anaknya yang bongsu belum lahir lagi), boleh mencukupi untuk kami beramai-ramai menuju ke pantai Port Dickson ataupun Morib. Sering juga kami menziarah kaum keluarga yang tinggal di Kg. Serting Ulu, Kuala Pilah, Ng Sembilan, dan Kg Sungai Sekah, Nilai, Ng Sembilan. Kalau ke Lake Garden, Kuala Lumpur memang keraplah beliau membawa anak-anak dan termasuklah......akak.

Mak Tua seorang yang pandai mengubati jika kanak-kanak kecil terkena keteguran.
Biasalah, orang dahulu-dahulu.... budak kecil meragam aje.., dipanggil kena keteguran. Maka datanglah mereka ke rumah Mak Tua membawa dua tiga biji kunyit hidup dan akan dijampi oleh Mak Tua. Dengan kuasa Allah jua yang menyembuhkan, kunyit jampi Mak Tua dapat mengubati anak kecil itu.

Mak Tua juga mempunyai hidangan istimewa ketika menyambut Hari Raya. Beliau akan datang kerumah kami dan berkumpul bersama-sama adik-adiknya memasak juadah istimewa masing-masing. Mak Tua akan membuat Kuih Bahulu. Memang cukup terkenal betul keenakan kuih-muih Hari Raya dari mereka tiga beradik. emak akak akan membuat Wajid Pulut dan Rendang Ayam. Manakala Mak Cik akan membuat Kuah Kacang dan Ketupat, Maruku, Maruku Potong (Kuih bawang) dan Bepang.Voilla........ Sedappppppp......

Mak Tua pula mempunyai hobi menghisap rokok Tembak. Setiapkali Mak Tua kerumah kami, aku akan diupah ke kedai membeli rokok Tembak dan dapatlah aku duit belanja membeli asam masin.

Cucu Mak Tua yang paling rapat denganku adalah satu-satunya cucu perempuan Mak Tua bernama Shahidah. Kami akan bermain bersama-sama setiapkali kami jumpa. Jika aku berada di rumah mereka, selepas makan tengahari, kami akan menaiki basikal hingga ke Kampong Nakhoda. Jika tidakpun, kami akan bermain-main beramai-ramai dengan adik beradiknya dan teman-teman yang tinggal dikawasan berdekatan dengan rumah mereka.

Kami pula mempunyai seorang/nama yang cukup untuk menakutkan kami. Bila di sebut nama mak cik tersebut, kami akan segera pulang ke rumah. Namanya Mak Cik Marom. Tak pernahlah kami di apa-apakan oleh mak cik tersebut, tapi dengan mendengar namanya sahaja, cukup membuatkan kami kecut perut. Entah apa pula yang telah dimomok-momokkan oleh orang-orang tua, tidak pula kami tahu. Yang pasti bila tersebut nama Mak Cik Marom, maka menggigillah kami anak-anak bawah usia 12 tahun.

Jiran Mak Tua mempunyai sebatang pokok buah jagus. Akak yang tidak pernah merasai bagaimana rasa buah tersebut menyangka bijinya yang lebih besar daripada buah yang sebenarnya, terus memetik dan memakan buah tersebut. Ya Rabbi, peliknya rasa...lidah akak menjadi lidas dan pelik akibat terkena getah buah jagus. Sejak dari hari itu, tak pernah akak berani-berani mengambil buah tersebut. Hingga sekarang olehkerana pengalaman teruk dilidah dan mulut akibat getah buah jagus, akak tak pernah merasai sedapnya seperti kata kawan yang pernah merasainya buah jagus masak ranum.

Di Kampong Selayang Baharu, terdapat 2 buah lombong. Satu di bahagian belakang rumah Abang Mat dan satu lagi berdekatan surau dan Kilang Batik iaitu dibahagian hadapan rumah Abang Mat. Kami amat suka bermain di lombong bahagian belakang rumah Abang Mat kerana terdapat banyak rumah-rumah berhampiran lombong tersebut. Tidaklah begitu menakutkan jika kami ikut adik-beradik Syahidah memancing di situ.

Sebelum lombang tersebut tertutup oleh tumbuhan teratai, aktiviti memancing memang menjadi routine penduduk di situ dan juga ada yang mengambil pohon-pohon keladi untuk dibuat masakan. Satu kenangan mengikut Mak Tua mengambil pohon-pohon keladi, kami (akak dan syahidah) yang mengikut belakang Mak Tua mengatakan; " Nek, Sini banyak selut....( Lumpur yang membenamkan kaki).... Jawap Mak Tua: " Eemmmm, keladi memang ganyut....". Masih terkenang dan terasa lucunya jawapan dari Mak Tua. Ganyut tu membawa maksud - Tua; Keladi tu dah tua.

Mak Tua memang seorang yang berperibadi tinggi. Beliau menjadi seperti ikon orang tua di kawasan kampong tersebut. Rata-rata yang mengenali beliau, amat menyenangi peribadi beliau. Pada hari pengebumiannya, ramai orang yang datang berziarah. Beliau begitu dikenali kerana sikapnya rajin menolong orang yang dalam kesusahan. Biarpun pada tengahmalam orang yang datang minta dijampi kunyit, beliau masih melakukkannya tanpa merungut.

Semuga Allah menempatkan Mak Tua bersama-sama para solihin dan kekaseh Nya. Amin.

No comments:

Post a Comment

Sila beri komen anda.

Hamster nak makan...