Arwah mak mempunyai seorang kakak dan dua orang adik. Seorang daripada adik lelakinya sudah meninggal dunia semasa masih muda lagi. Tinggallah seorang adik perempuan.
Arwah adik perempuan mak, tinggal bersama-sama mak di rumah pusaka kepunyaan ayah dan ibu mereka. Manakala kakak kepada mak, tinggal di Selayang Baru, Selangor bersama dengan anak menantu dan cucu seramai tujuh orang.
Setiap kali emak membawa akak kerumah kakaknya di Selayang Baru, kami akan menaiki bas besar berwarna merah kuning dihadapan Plaza Selangor, Jalan Tuanku Abdul Rahman. Bas yang bernombor 71 akan membawa kami ke Selayang Baru. Dan sebaik saja perkhidmatan bas mini diperkenalkan, bas bernombor 10 adalah bas yang akan ke Selayang.
Olehkerana keluarga di Selayang agak besar, kebanyakannya sebaya denganku., akak amat seronok jika mak merancang ingin kesana. Kami akan bermalam di sana dan pada waktu siang, akak akan bermain dengan saudara mara sebaya. Kadang-kadang mak terpaksa pulang pada hari esoknya kerana merisaukan ayam itiknya. Akak yang masih rasa belum puas bermain dengan saudara mara sebaya akan dengan yakinnya ingin bermalam sehari lagi. Emak pun pulang kerumah kami.
Bila dah selesai makan malam, waktu hendak tidur, akak, tanpa disedari akan mencebik-cebik bibir ingin menangis. Tercebik-cebiklah bibir akak tanpa boleh ditahan-tahankan kerana merindui emak. Akak memang hidup berdua saja dengan mak. Kerinduan itu terlalu sangat bila dah malam. Kami memang tidur sekatil. Terasa sangat rindu itu dan akak pun akan menangis. Nak merayu abang saudara hantar pulang, takut kena marah. Waktu dahulu, jarak dari Kg Baru ke Selayang memang jauh sangat.
Akak akan menangis sehinggalah tertidur. Esoknya bangun, tengok ada ramai saudara mara sebaya....lupalah semua kerinduan. Tapi kalau malam itu terpaksa tidur lagi tanpa mak, akan menangislah lagi.
No comments:
Post a Comment
Sila beri komen anda.