Marilah pula akak bercerita mengenai perkhidmatan bas semasa tahun 70an. Bas yang paling terkenal masa itu adalah Bas Sri Jaya. Basnya berwarna biru. Awalnya untuk menentukan destinasi bas tersebut, mereka meletakkan sekeping kayu yang tertulis nombor bas dan destinasinya. Bila agak maju sedikit, mereka menggunakan relungan kain yang boleh dipusing-pusingkan dalam menukar haluan destinasi bas.
Bas bernombor 237, yang berpengkalan di hadapan Keramat Supermarket, Chow Kit Road, akan membawa penumpang ke Kg Datuk Keramat. Bas tersebut menambahkan jarak hingga ke Kg Datuk Keramat berhampiran Taman Permata dan Taman Lembah Keramat dalam tahun 80an. JIka sebelumnya bas tersebut hanya akan menurunkan penumpang sehingga Kilang Texas Instrument dan Kilang Harris.
Bas bernombor 8, yang berpengkalan dari Perhentian Bas Kelang akan mebawa penumpang sehingga ke Kg Datuk Keramat. Bas tersebut akan berhenti di hadapan Pasar Kg Datuk Keramat dan membawa semula penumpang hingga ke Perhentian Bas Kelang.
Bas bernombor 6, akan mengambil jalan Semarak untuk ke Jalan Gurney. Tempat terakhir bas tersebut berhenti adalah di hadapan Masjid Tentera di Jalan Gurney.
Kesemua bas tersebut akan melalui di hadapan rumah akak. Agak memudahkan bagi kami yang ingin kemana-mana.
Kesemua bas tersebut akan melalui di hadapan rumah akak. Agak memudahkan bagi kami yang ingin kemana-mana.
Tambang bas pula, pada awalnya seingat akak dari Pasar Chow Kit Road ke rumah akak adalah 5sen. Kemudian, dinaikkan 10sen. Untuk ke Perhentian Bas Kelang dari rumah akak ialah 30sen.
Nak dijadikan cerita, kekadang tu memang angin dengan perkhidmatan bas ini. Sejak mereka menggunakan pusingan kain yang mudah untuk menukar destinasi, pernah terjadi, penumpang dah beratur dan menaiki bas tersebut, dah dapat tempat duduk lagi, aleh-aleh datang kondukter bas, dipusingkannya nama destinasi bas tersebut maka bergegaslah semua penumpang kena turun. Kalau bernasib baik, adalah bas yang digunakan sebagai ganti, jika tidak...berdirilah lagi di tepi Keramat Supermarket itu sambil menunggu bas ganti.
Lepas tu dalam pertengahan tahun 70an, perkhidmatan bas mini diperkenalkan. Bayarannya jauh atau dekat tetap 40sen. Yang nak dijadikan ceritanya, sikap kondukter bas tersebut. Bas tersebut mempunyai 2 saiz. Kedua-duanya seperti bas sekolah anak-anak kita sekarang.
Memang itupun basnya. Jumlah penumpang memanglah agak terhad tapi sikap mereka yang ingin mendapatkan untung, memaksa penumpang berhimpit-himpit. Setiapkali pemandu bas mini berhenti di perhentian bas, maka kondukter akan menjerit," Masuk dalam lagi...masuk dalam lagi". Kalau diikutkan penumpang dah berhimpit macam ikan sadin, kondukter masih mengambil penumpang dan teruskan menjerit 'Masuk dalam lagi'. Teringat akak pernah ada seorang penumpang menjerit menjawap balik katanya, ' Oiii...dah sampai dapur ni, nak masuk kemana lagi?????'
Kali ini akak nak bawa pembaca ke Jalan Ampang. Dahulunya sebelum adanya Bangunan Bank Bumiputra dan Bank Standard Chartered di Jalan Ampang, tempat tersebut adalah Hentian Bas bagi pengguna yang ingin pergi arah ke Seremban, Kajang, Mantin dan juga menuju destinasi seperti Selayang Baru, Kg Sg Tua, Rawang.
Kemudian sebelum Pudu Raya dibina, tempat menunggu bas ke destinasi seperti Seremban adalah di hadapan Pudu Raya sekarang ni, iaitu Jalan Pudu. Bila Pudu Raya di bina, maka penumpang pun dapatlah menunggu dengan selesanya di dalam hentian yang mempunyai bangku-bangku untuk duduk sementara menanti bas. Emak dan akak sering mengambil bas dari situ ke Seremban, turun di Hentian Bas Seremban dan ambil bas ke Kg Sungai Sekah, Nilai, Ng Sembilan. Masa perjalanan yang di ambil hampir sehari. Kami selalu ke sana kerana emak mempunyai sepupu yang tinggal di sana. Kunjungan sempena kenduri kawin ataupun Hari Raya memang menjadi alasan untuk kami berjalan 2 beranak sejauh itu.
Tapi sekarang semuanya adalah kenangan manis untuk dikenang. Akak dan ramai lagi teman-teman akak diluar sana sudah tidak menggunakan perkhidmatan bas kerana masing-masing sudah mempunyai kenderaan sendiri. Anak-anak zaman sekarang pun dah manja. Kemana-mana dibawa oleh ibubapa mereka ataupun bagi yang terlebih rezeki, menggunakan pemandu....Tapi Syukurlah, kerana anak-anak kita berada dalam jagaan kita untuk kemana-mana. Tidaklah kita ragu-ragu lagi mengenai keselamatan mereka berbanding jika kita lepaskan mereka menaiki bas sendirian.
testing..testing
ReplyDelete