Wednesday, August 5, 2009

Kenangan semasa kecil-kecil 6.

Macamni ke rupa hantu kepala anjing yang kanak-kanak jadi takut masa tahun 70an dulu?


Kali ini akak ingin bercerita perkara-perkara yang menakutkan kami yang masih kanak-kanak di tahun 70an.

Secara tanpa di minta-minta, kanak-kanak pada zaman tersebut ditakutkan dengan cerita Hantu Kepala Anjing. Kononnya jika ada kanak-kanak yang sering merayau-rayau pada waktu malam, tentunya mereka akan teserempak dengan Hantu Kepala Anjing. Maka, berhentilah kegiatan kami para kanak-kanak yangmana dahulunya sering bermain pada waktu malam di kawasan tepi jalan besar Jalan Raja Muda Abdul Aziz.

Kalau dulunya kami beramai-ramai akan bermain kejar-kejar dan memanjat setiap pokok bunga Kemboja yang terdapat di depan setiap rumah. Pokok yang berbagai-bagai bentuk rupa dahannya menjadi bagai satu ujian memanjat buat kami kerana ada dahan pokok yang mudah, ada yang cukup payah untuk memulakan memanjat. Siapa yang tertinggal tak dapat panjat, kalah. Tak seseronok mereka yang berada di dahan-dahan pokok tersebut beramai-ramai.

Setelah hilang cerita Hantu Kepala Anjing, timbul pula lah pulak Hantu Setokin. Kononnya ianya adalah seorang perempuan tua yang bersetokin. Kanak-kanak akan berjumpa dengan Hantu Setokin kelau merayau-rayau tak tentu hala pada waktu siang mahupun malam. Kalau Hantu Kepala Anjing hanya akan menjadi Hantu pada waktu malam, tapi Hantu Setokin dikatakan berkeliaran siang dan malam. Aduh... jadi ketakutanlah kesemua geng-geng kami.

Agaklamalah juga kami mengurangkan aktiviti merayau-rayau. Kalau bermain pun, waktu siang berhampiran dengan rumah. Tak berani nak pergi jauh-jauh. Syukurlah kawasan rumah akak agak besar, dan dapatlah kami bermain puas-puas dengan berbagai-bagai permainan yang terfikir oleh kami. Main guli lah, layang-layanglah, galah panjang lah, konda kondi lah, main getah.

Lama kelamaan kisah Hantu Kepala Anjing dan Hantu Setokin pun hilang.

Bila dah tua begini akak fikir-fikirkan, ini tentunya angkara rancangan para ibubapa kami yang mereka-reka cerita agar kami tidak merayau-rayau macam selalu. Bila disebarkan cerita yang menakutkan begitu, kamipun jadi budak baik. Duduk di rumah masing-masing.

Terfikir juga akak, kalau akak buka kembali cerita yang serupa pada anak-anak akak, apakah reaksi mereka. Tentunya anak akak yang kedua yang memang terkenal dengan penakutnya akan mengajak adik beradiknya menemankan dia kedapur.

No comments:

Post a Comment

Sila beri komen anda.

Hamster nak makan...