Thursday, August 6, 2009

Kenangan semasa kecil-kecil 8.


Teringat juga kisahnya mengenai arwah makcik Ramlah. Beliau adalah adik kepada emak akak. Hidupnya bersendirian tanpa mempunyai suami dan anak. Beliau tidak pernah mendirikan rumahtangga hingga keakhir hayatnya. Beliau adalah seorang wanita yang amat lurus dalam ertikata tidak pandai bertandang kerumah jiran untuk berbual-bual kosong dan juga diberikan rezeki dengan membuat air penerang hati.

Air penerang hati tersebut pernah diambil oleh ibu seseorang yang amat dikenali (tokoh korporat). Kiranya mereka amat yakin bahawa air penerang hati tersebut mujarab untuk dijadikan minuman buat anak-anak mereka. Setiap kali anak mereka akan mengambil peperiksaan, maka makcik Ramlah lah yang akan dijadikan tempat untuk mengambil air terang hati.

Rezeki yang makcik Ramlah perolehi agak lumayan. Kebanyakan pelanggan Air Penerang Hati makcik Ramlah adalah dari golongan orang berada. Datang kerumah dengan menaiki kereta mewah iaitu Mercedes, siap dengan pemandunya sekali.

Mungkinnya olehkerana sikap arwah makcik Ramlah ni sebagai seorang yang menjaga sembahyang dan jujur dan lurus, doanya termakbul. Wallahualam.

Nak ceritanya di sini, sungguhpun makcik Ramlah ni tidak pernah mempunyai anak sendiri, akak masih dapat bermanja dengan beliau. Bila waktu malam, beliau akan duduk di bahagian luar rumah iaitu tangga simen di hadapan rumah(Dulu-dulu rumah kampung ada tangga batu yang besar dan selesa jika nak baring-baring), dengan lampu utama dipadamkan, beliau akan duduk-duduk mengambil angin sambil memerhatikan kearah jalan raya di hadapan rumah kami.

Jika ada kenalannya yang lalu di hadapan rumah kami itu, beliau akan menjerit dalam kegelapan malam itu," Ooott...Esah...tak singgah?.." Kebanyakan kenalan beliau memang dah menjangkakan panggilan itu akan terus berhenti dan mula masuk kedalam halaman rumah kami. Duduklah mereka berbual-bual sehingga mata dah mengantuk. Akak masa tu memang dah terlena tidur dipangkuan makcik Ramlah. Bila teman berbualnya pulang, makcik Ramlah akan mengejutkan akak, dan kami pun bangun masuk kedalam rumah.

Makcik Ramlah memang terkenal dengan masakannya yang sedap-sedap. Bila tiba hari raya, emak, kakak mak dan makcik Ramlah akan menyediakan juadah yang menjadi keistimewaan masing-masing. Emak akan memasak rendang dan wajid. Kakak kepada mak yang dipanggil Maktua akan memasak kuih bahulu dan qasidah manakala makcik Ramlah akan memasak kuah kacang,ketupat,kuih bepang,kuih maruku dan kuih maruku potong(bawang). Dalam seminggu sebelum raya sibuklah makcik Ramlah membasuh dan membersihkan rumah. Selepas itu beliau akan duduk memulakan membuat kuih-kuih kering tersebut.

Sehari sebelum raya, emak dan maktua pula sibuk menyediakan juadah yang menjadi keistimewaan masing-masing.

Jika ada musim buah rambutan masam, makcik Ramlah akan memasak buah tersebut menjadi paceri dan jem. Bila ada masakan paceri rambutan, beliau tentunya akan membuat roti canai. Akak dan emak dan saudara mara yang lain cukup seronok dijamu dengan juadah yang sedap-sedap begitu.

Terfikir pula akak, padanlah rumah kami menjadi tempat kunjungan saudara mara yang kerap datang berziarah. Kekadang tu, sampaikan ada yang duduk berhari-hari tak balik.

Mungkinnya makcik Ramlah salah satunya sebab mereka suka sangat kerumah kami...Masakan beliau......UUUHHHHHHHH Superb.

Ya Allah, tempatkanlah beliau bersama-sama golongan orang-orang Kau kasihi. Amin.

No comments:

Post a Comment

Sila beri komen anda.

Hamster nak makan...