Wednesday, August 5, 2009

Kenangan Semasa kecil-kecil dahulu.

Lebihkurang beginilah rupanya buah jambu milik akak.


Akak ni semasa kecil teramatlah nakal. Almaklumlah hidup hanya bertiga dengan arwah mak dan arwah mak cik. Rumah kami terletak di kg.baru, Kuala Lumpur.

Rumah tersebut adalah rumah kampung dan di sekeliling rumah akan terdapat berbagai-bagai pokok buah-buahan. Antara pokok yang ditanam oleh arwah emak akak ialah pokok kuini, pokok rambutan, pokok jambu air, pokok jambu batu, pokok pisang, pokok langsat.

Untuk mendapatkan pendapatan dan belanja, arwah emak akak telah membina 5buah rumah sewa. Setiap penyewa adalah penyewa yang telah berumahtangga. Tentunya masing-masing mempunyai anak. Akak rasa sungguh seronok kerana mempunyai ramai kawan...

Rumah pertama mempunyai 4 orang anak, kedua 3orang anak, ketiga 4orang anak, keempat 2orang anak dan kelima hanya seorang anak. Kami akan bermain bersama-sama dari pagi hinggalah tengah malam. Dimasa dahulu, agak kurang kejadian jenayah seperti sekarang.

Ketika malam-malam raya kami akan duduk di luar (tepi jalan besar), bermain dengan memanjat pokok bunga kemboja dan berkejar-kejaran.

Yang akak nak ceritakan di sini ialah, mengenai pokok jambu batu akak. Kami mempunyai 3 batang pokok jambu batu. Ada yang buahnya kecil-kecil, ada yang buahnya sederhana besar dan ada yang payah nak jumpa buahnya.... Akak cukup suka dengan buah jambu yang sederhana besar tu. Buahnya cukup sedap. Memang dah takkan jumpa lagi sekarang.

Akak akan mempastikan setiap biji buah yang ada itu, akak yang punya. Teman-teman anak penyewa sentiasa mengusik akak. Setelah mereka jumpa buah jambu tersebut dan ambil, mereka akan menyanyikan "Pek,pek nyo...siapa dapat dia punyo..." sebaik saja akak melintas di bawah pokok jambu tersebut.

Akak pun apalagilah, menggelabahlah. Meluru panjat pokok jambu tersebut dan akan mencari dari dahan ke dahan untuk memastikan buah jambu itu, milik akak seorang. Tapi selalunya hampa, samada yang ada di pokok tu hanyalah putik ataupun yang dah busuk.

Teman-teman sepermainan pun akan ketawa beramai-ramai. Maka dengan perasaan yang teramat malunya, akak pun turunlah dari pokok berjalan terus masuk kerumah tanpa menoleh-noleh lagi.

Pengajaran ceritanya, kalau kita tamak, orang akan mengenakan kita.

No comments:

Post a Comment

Sila beri komen anda.

Hamster nak makan...